Berita

AIM salur bantuan RM100 ribu kepada mangsa banjir

PENGERUSI AIM, Datuk Shabudin Yahaya (tengah) bersama Pengarah Urusan, Shamir Aziz (kanan) bertanyakan khabar kepada mangsa banjir Juhaida Kamaruddin (kiri) di Pusat Penempatan Sementara Banjir Dewan Serbaguna MBSJ pada Isnin.
- Diterbit 21 Disember 2021 5:42 AM MYT

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan bantuan khas sebanyak RM100,000 kepada mangsa banjir khususnya Sahabat AIM yang terkesan akibat fenomena Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu.

Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahaya berkata bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan lain-lain.

“Selain bantuan RM100,000 berkenaan yang akan disalurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, AIM juga menyediakan tabung khas untuk Sahabat yang dilanda musibah.

“Bantuan yang disalurkan menerusi Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) membolehkan Sahabat membuat tuntutan mengikut kadar ditetapkan jika terkesan dalam kejadian banjir ataupun kemusnahan kediaman,” jelasnya.

Menurut Shabudin, sehingga hari Isnin, seramai 9,206 Sahabat AIM di 10 negeri terjejas ekoran hujan turun tanpa henti sejak Jumaat lalu.

“Antara negeri yang terlibat adalah negeri Selangor, Pahang, Kelantan, Sabah, Terengganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

“Sebahagian daripada mereka masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa.

“Pihak AIM akan menggerakkan pasukan petugas di setiap cawangan untuk membantu Sahabat-Sahabat di seluruh negara terutamanya dalam usaha membersih kediaman dan membantu memulihkan perniagaan yang terjejas,” tambahnya.

Sementara itu, Shabudin bersama beberapa pengurusan kanan AIM sempat meninjau keadaan Sahabat di PPS Tanjung Karang dan beberapa lokasi lain sebagai tanda prihatin sambil melihat keperluan segera yang boleh disalurkan.

Beliau turut menasihati Sahabat supaya sentiasa patuh dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas