Berita

Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP bantu golongan rentan di Wilayah Persekutuan

ANWAR beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Seri Melati, Putrajaya.
- Diterbit 9 Jun 2023 8:11 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 1 Jun lalu untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata ramai dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Di sinilah pentingnya peranan YWP yang selama ini telah membantu golongan rentan melalui lima konsep program utamanya iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T),” ujar beliau.

Tambah beliau, YWP ditubuhkan bagi menjuarai isu-isu berkaitan pendidikan, ini dapat dilihat melalui lebih 20 skim bantuan yang merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah hingga ke menara gading.

“Jika dihitungkan jumlah yang dibelanjakan demi mencapai sifar miskin di Wilayah Persekutuan pasti tidak ternilai jumlahnya jika YWP berseorangan. Namun saya difahamkan semua agensi kerajaan telah pun bekerjasama selama ini.

“Pelancaran tabung ini menjadi titik menyerlah dalam merangkumkan penyertaan golongan korporat dan orang perseorangan dalam meneruskan ikhtiar secara bersepadu untuk membantu golongan miskin bandar,” ujar beliau.

Anwar berkata hasil usaha sama dengan agensi kerajaan dan badan korporat menjadi penanda aras dalam membudayakan nilai ihsan seperti yang terkandung dalam kerangka Malaysia Madani.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan setiap yayasan dan badan amal perlu menyediakan laporan serta penyata kepada penderma untuk meningkatkan keyakinan penyumbang serta ketelusan.

“Cadangan tersebut sebagai tradisi baharu yang akan dimulakan YWP yang mana ia dapat memberi jaminan kepada penyumbang dalam pengurusan sumbangan. Siapa yang menderma akan mendapat laporan ke mana wang tersebut digunakan,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis pelancaran tabung tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj; Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki; Pengerusi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Datuk Rizalman Mokhtar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Antara 21 syarikat korporat yang menyumbang adalah Tahap Warisan Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Petronas, First Pavilion Technology Sdn Bhd dan lain-lain. -WILAYAHKU

Imbas kod QR untuk menonton video.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas