Biz

Taamim Handmade alatan tradisional

- Diterbit 15 Disember 2023 12:00 PM MYT

BAGI memastikan seni pembuatan alatan tradisional seperti pisau dan parang diwarisi zaman-berzaman, Taamim Handmade yang diterajui Nurdin Rostam Kamal, 25, tampil meneruskan legasi perniagaan keluarganya.

Dalam masa yang sama, anak muda ini berazam untuk merancang dan melatih golongan muda masa kini untuk menjadi pelapis pembuatan barangan tradisional agar ia tidak lapuk dek zaman.

Tampil unik dan berbeza, Nurdin berkata peralatan yang ditawarkan terdiri daripada material yang bermutu tinggi agar bertahan lama dan tidak mudah rosak.

“Ia diperbuat daripada keluli karbon tinggi, K110 dan tahan karat sementara di bahagian pemegangnya menggunakan material gentian kaca serta candy handle composite kerana lebih kemas, kalis air dan mudah dijaga.

“Namun, apa yang paling penting, cara penjagaan dan kegunaannya. Kalau buat pisau dengan material mahal sekalipun tetapi tidak dijaga dan tahu kegunaannya, maka ia akan cepat rosak.

“Selepas dipakai pastikan ia dibasuh bersih dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum disapu minyak,” ujarnya yang menawarkan tiga jenis saiz berbeza iaitu enam inci, lapan inci dan 10 hingga ke 15 inci.

Tambahnya, untuk menjaga kualiti dan kuantiti, setiap rekaan adalah terhad kepada 20 bilangan sahaja. Jadi siapa yang ingin memilikinya perlu berebut jika tidak mereka terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkannya semula.

Nurdin berkata, rata-rata pelanggannya dalam kalangan mereka yang suka melakukan aktiviti survival selain dibeli untuk kegunaan di dapur atau aktiviti penyembelihan.

“Selain itu, Taamim Handmade turut menjadi pilihan pengumpul koleksi parang dan pisau khususnya dalam kalangan anak muda. Saya pernah menerima pelanggan berumur 15 tahun tetapi mendapat dorongan ibu dan bapa untuk mengumpulnya,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Program Craft Media Tour ke Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, harga yang ditawarkan bermula RM100 dan ke atas di mana kebiasaannya ia akan dihasilkan mengikut tempahan ataupun jika terdapat program-program kraf tangan.

“Misalnya jika terdapat program seperti Ini Jualan Kraf yang diadakan Kraftangan Malaysia, saya akan membuat 40 bilah dalam masa sebulan. Itu merupakan antara cabaran di mana perlu menyiapkan kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat,” ujarnya. – WILAYAHKU

(Foto oleh SYUQQREE DAIN)

Info:
Lokasi: Felda Palong Tiga, Gemas, Negeri Sembilan
Media sosial: @TaaMimHandmade
Telefon: 013-307 9521

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas