PENGKELASAN mengenai golongan T15 perlu diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi yang akan dibuat kerajaan adalah adil kepada semua pihak.
Demikian ditegaskan Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr Mohd Khairi Ismail mengenai penumpuan negara ketika ini terhadap golongan yang dikatakan mahakaya itu.
Menurut beliau, secara umum, golongan T15 tidak memerlukan bantuan kewangan kerana mereka berada dalam kumpulan pendapatan tertinggi dan biasanya mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong gaya hidup mereka.
“Namun ada situasi tertentu di mana individu dalam golongan ini mungkin memerlukan bantuan seperti dalam kes kesihatan, pendidikan anak atau masalah kewangan yang tidak dijangka,” katanya.
Beliau memberitahu, meskipun langkah tersebut membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain, mengambil contoh penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi elektrik, ayam (RM1.2 bilion) dan diesel (RM4 bilion), kesejahteraan golongan ini perlu diberi perhatian.
Ini katanya, memandangkan golongan tersebut juga merupakan golongan produktif sebagai pembayar cukai.
Selain itu jelasnya, keputusan untuk penyasaran subsidi, terutama golongan T15, bukan hanya mengambil kira aspek pendapatan tetapi juga mengambil kira elemen akses pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan seperti yang dicadangkan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi.
Tambah beliau, secara asasnya golongan T15 dalam konteks kelas pendapatan di Malaysia merujuk kepada kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan tertentu.
“Golongan T15 biasanya digunakan untuk merujuk kepada 15 peratus teratas dalam pembahagian pendapatan yang menunjukkan kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat.
“Kumpulan ini sering kali terdiri daripada individu atau keluarga dengan pendidikan tinggi, pekerjaan profesional atau pemilik perniagaan yang berjaya. Mereka biasanya mempunyai akses kepada sumber dan peluang yang lebih baik berbanding dengan golongan pendapatan rendah.
“Selain itu, golongan T15 tidak dianggap miskin sebaliknya mereka adalah kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat. Dalam konteks pendapatan, golongan ini biasanya menikmati taraf hidup yang lebih baik, dengan akses kepada pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, ia perlu juga mengambil kira keadaan semasa yang dihadapi oleh golongan ini.
“Contohnya, golongan T15 tanpa tanggungan boleh dikatakan mahakaya berbanding mereka yang berkeluarga.
“Selain itu, terdapat isi rumah yang dikategorikan golongan T15 hasil daripada jumlah pendapatan suami isteri. Hal ini pasti menunjukkan perbezaan realiti hidup yang sebenar meskipun mereka berada dalam kategori pendapatan yang sama.
“Sebagai contoh, seorang individu bujang dalam golongan T15 mungkin mempunyai pendapatan tinggi dan dikatakan mahakaya manakala golongan T15 mempunyai tanggungan besar dan tinggal di kawasan bandar, situasi kewangan mereka mungkin tidak sebaik individu T15 yang tidak mempunyai tanggungan,” katanya. – WILAYAHKU