Berita

Syed Wafa terima Anugerah Wartawan Tinta Emas, temu bual bersama selebriti dunia jadi inspirasi

- Diterbit 26 Februari 2025 11:00 PM MYT

WARTAWAN dan personaliti media, Syed Wafa bakal menerima Anugerah Wartawan Tinta Emas sempena Majlis Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025.

Dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia, anugerah tersebut sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlangnya dalam dunia kewartawanan.

Anugerah berprestij ini diberikan kepada individu yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam bidang kewartawanan serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh etika dan integriti media di Malaysia.

Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, Syed Wafa atau nama sebenarnya, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin Wafa dikenali kerana kredibiliti, profesionalisme, serta gaya penyampaian yang berwibawa dalam melaporkan berita dan menemubual tokoh-tokoh terkenal.

Selain cemerlang dalam bidang kewartawanan tempatan, Syed Wafa yang juga merupakan seorang pelukis sering mengendalikan temu bual eksklusif bersama selebriti dunia.

Antara personaliti yang pernah ditemubualnya termasuk legenda muzik pop, mendiang Michael Jackson, diva terkenal Mariah Carey, pelakon popular Michael J Fox serta ramai lagi ikon terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Kemampuan Syed Wafa mengendalikan temu bual dengan begitu profesional menjadikannya antara wartawan tempatan yang dihormati.

Presiden DPDDM, Datuk Sri Nor Hasnal Hasmi berkata, pencapaian hebat Wafa dalam bidang kewartawanan membuatkan Wafa terpilih sebagai penerima anugerah bagi mengiktiraf pencapaiannya.

Antara legenda dunia yang pernah ditemubual Syed Wafa ialah mendiang Michael Jackson, Mariah Carey, Michael J Fox serta ramai lagi ikon terkemuka.

Mengulas mengenai penghormatan yang diterimanya, Syed Wafa menyatakan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan ini.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima Anugerah Wartawan Tinta Emas ini.

“Ia bukan sekadar penghargaan kepada saya sebagai individu, tetapi juga kepada seluruh industri kewartawanan yang terus berusaha menyampaikan berita yang tepat, bertanggungjawab dan berkualiti kepada masyarakat.

“Dunia kewartawanan mengalami perubahan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama dengan perkembangan media sosial dan teknologi digital.

“Justeru, anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk saya terus memberikan yang terbaik serta menyumbang kepada pembangunan kewartawanan yang lebih profesional dan beretika,” katanya.

Syed Wafa turut menekankan betapa pentingnya kewartawanan yang telus dan bertanggungjawab dalam era digital masa kini.

“Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh media sosial, cabaran bagi wartawan adalah untuk terus memastikan integriti dan ketepatan dalam penyampaian berita.

“Saya berharap anugerah ini juga akan menjadi inspirasi kepada wartawan-wartawan muda untuk terus berpegang kepada etika kewartawanan dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya sensasi semata-mata,” tambahnya.

Penganugerahan Anugerah Wartawan Tinta Emas ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian individu, tetapi juga menandakan kepentingan profesion kewartawanan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat.

Diharapkan anugerah ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu wartawan untuk terus mempertahankan prinsip kewartawanan yang beretika dan berkualiti, sejajar dengan cabaran dunia digital yang semakin berkembang.

Di majlis Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 ini antara artis yang turut menerima anugerah ialah Datuk Aaron Aziz, Aleeza Kasim dan AR Badul.

Anugerah ini bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam bidang masing -masing ini akan berlangsung pada 28 Februari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas