DEWAN Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC) memeterai perjanjian bersama dua pengusaha syarikat tempatan sebagai rakan strategi perniagaan dan pelaburan bagi program Malaysia Warehouse-Wuxi, China yang bakal diadakan pada Ogos depan.
Ahli jawatankuasanya, Datuk Seri Sharizal Sarip berkata kedua-dua pengusaha iaitu syarikat Juta Global Marketing Sdn Bhd (Juta Global) yang menghasilkan keju halal berjenama Marsche Formage Cheese serta pengeluar makanan Ready-To-Eat (RTE), Tok Su Shon keluaran UNA Manufacturing & Resources Sdn Bhd (Una Manufacturing) dipilih setelah disaring dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan China.
“Kalau hendak diikutkan, pihak kami telah menerima lebih dari 200 permohonan daripada pelbagai syarikat tempatan untuk cuba memasarkan produk dan memasuki pasaran China.
“Walau bagaimanapun, hanya dua buah syarikat ini sahaja terpilih setelah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh China seperti kandungan gula dalam makanan dan juga kandungan bahan kimia yang digunakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembekalan produk kedua-dua syarikat baru-baru ini.
Menurut Sharizal, pemilihan syarikat berdasarkan kepada beberapa kriteria ketat yang diwajibkan oleh kerajaan China.
“Pihak Wuxi mahukan sekurang-kurangnya 110,000 metrik tan produk sebulan untuk pasaran China yang akan ditempatkan di Pavilion Malaysia di Wuxi.
“Jumlah tersebut merupakan satu kriteria yang telah ditetapkan bagi syarikat tempatan dari pasaran China selain daripada kandungan makanan yang harus mengikut piawaian sebelum dipasarkan di sana,” ujarnya.
Katanya setakat ini kesemua permohonan yang diterima masih dalam proses saringan bagi menemui syarat sekuriti makanan yang ketat daripada pihak China.
“Memang banyak permohonan yang diterima, namun kita perlu saring terlebih dahulu. Walaupun daripada usahawan kecil, kita tetap terima dan bantu mereka untuk diterima masuk.
“Insya-Allah dah diterima, jangan risau, permintaan memang tinggi, kita juga gembira, kita akan bantu untuk penuhi permintaan yang ada dan beserta dengan harapan pihak dari China juga menyediakan pelan untuk penuhi permintaan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Sharizal memaklumkan pihaknya mahu mewujudkan platform yang bersepadu, saling menguntungkan untuk integriti perniagaan, komunikasi dan pertukaran antara kedua negara.
Menurutnya, syarikat tempatan di dalam bidang makanan dan minuman (F&B) perlu berani menyahut cabaran kerana kriteria keselamatan makanan di China amat ketat dan perlu dipatuhi seperti mengeksport produk negara Eropah.
“Jika dilihat, Pavilion kita yang terdapat di Wuxi adalah yang paling besar sekali gus menjadikannya tempat di mana ejen pemasaran seluruh China untuk memilih produk-produk F&B yang boleh dipasarkan,” katanya. – WILAYAHKU