Atlet Wilayah

Syaqir intai peluang sertai skuad silat kebangsaan, mahu beraksi di pentas dunia

SYAQIR (dua kiri, belakang) meraih pingat emas di SUKMA 2024
- Diterbit 13 September 2024 4:53 PM MYT

HAMPIR 12 tahun aktif dalam sukan pencak silat, atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Syaqir Afham Zaidi mula mengintai peluang untuk menyertai skuad kebangsaan demi masa hadapan.

Meletakkan harapan tersebut sebagai penanda aras, dia sentiasa meningkatkan usaha dari semasa ke semasa sehingga menjadi atlet terbaik.

“Saya pasti bukan saya sahaja yang ingin bergelar pesilat negara tetapi setiap atlet sudah semestinya bercita-cita untuk berada di tahap tersebut. Kalau boleh saya ingin mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Memasang impian untuk beraksi di pentas Olimpik suatu hari nanti, atlet berusia 21 tahun itu menjadikan bekas atlet silat negara, Muhammad Faizul M Nasir sebagai idola.

SYAQIR (dua kiri, belakang) meraih pingat emas di SUKMA 2024

Pemenang tunggal pingat emas sukan silat di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 itu berkata untuk sampai ke tahap itu, dia perlu bekerja keras selain memberi komitmen yang sangat tinggi sama seperti dilakukan idolanya itu.

“Mungkin ia akan mengambil masa bertahun-tahun berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik namun amat berbaloi memandangkan ia adalah jalan yang saya pilih dan banggakan,” ujarnya.

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini gigih menjalani latihan bagi persediaan berentap dalam kejohanan silat akan datang.

“Sejujurnya dari dahulu saya berusaha sedaya upaya untuk memenangi setiap pertandingan. Biarpun masa masih agak panjang namun itu bukan alasan untuk berlengah kerana saya perlu tingkatkan prestasi bermula dari sekarang,” ujarnya yang akan menjalani latihan di pusat gimnasium pada masa lapang bagi menguatkan stamina tubuh.

Katanya lagi, dia juga sentiasa mempersiapkan diri dari segi mental agar tidak berasa gentar ketika berada di gelanggang semasa hari perlawanan.

“Saya tidak hanya mengharapkan latihan daripada jurulatih semata-mata. Sebagai atlet, kita perlu ada inisiatif sendiri untuk berjaya,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Sementara itu, Pengurus Skuad Silat Wilayah Persekutuan, Mohamad Mahathir Mohamed Younos berkata seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri malah dapat membentuk keterampilan serta jati diri.

MAHATHIR

“Menerusi penganjuran pelbagai kejohanan silat seperti SUKMA, ramai bakat baharu dapat dilahirkan sekali gus memastikan budaya ini tidak pupus. Seni silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

“Sehubungan itu, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya yang sudah bertapak sejak sekian lama ini dapat dikekalkan dan diterima segenap lapisan masyarakat,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas