Selebriti

Suria FM, AC Gas sumbang RM 11,000 untuk rakyat Palestin

DJ Lin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurhaliza. Turut sama barisan penyampai Morning Morning Suria dan wakil AC Gas, Mohamad Amirul (kanan).
- Diterbit 26 Oktober 2023 9:57 PM MYT

Oleh DEEL ANJER

DEMI membela nasib rakyat Palestin, banyak pihak dan syarikat swasta tampil membuat sumbangan.

Sebagai tanda keprihatinan, Suria FM dan AC Gas juga berbesar hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM 11,000 kepada Tabung Bantuan Khas Palestin, kelolaan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama organisasi Kita Fund, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) dan wakil Pemasaran AC Gas, Mohamad Amirul Hafiz kepada pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza di ibu pejabat CTDK Holdings.

Acara penyerahan itu turut dihadiri barisan penyampai Morning Morning Suria, Ajak, Shuib dan Suraya Borhan.

Menurut DJ Lin, sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan terhadap saudara Islam di Palestin yang kini sedang bertarung nyawa.

“Sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan Suria FM dan AC Gas ke atas bumi Gaza juga saudara Islam di sana sekali gus merupakan satu inisiatif dalam menentang kezaliman yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.

“Sebagai sebuah stesen radio swasta, kami akan cuba yang terbaik memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran juga maklumat di samping mengajak para pendengar untuk turut menyokong dan membantu rakyat di sana.

“Bantuan ini bukan sahaja menunjukkan sokongan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin, tetapi juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha Malaysia yang sentiasa bersatu dalam memperjuangkan hak kemanusiaan khususnya terhadap mereka yang dizalimi dan teraniaya,” ujarnya.

Pertemuan bersama Siti Nurhaliza itu juga merupakan antara inisiatif lain yang Suria FM lakukan dalam usaha membantu dan mengajak lebih ramai rakyat Malaysia untuk turut sama menyumbang ke Yayasan Nurjiwa.

“Buat semua pendengar Suria, jangan berhenti untuk terus bersolidariti demi Palestin dan teruskan berdoa semoga kita dapat membawa perubahan serta menghentikan kekejaman yang berlaku,” ujar DJ Lin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas