KERAJAAN menegaskan bahawa suntikan modal RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) tidak akan memberi sebarang manfaat kepada pemegang saham atau pengurusan lama syarikat itu, sebaliknya bertujuan menyelamatkan lebih 2,000 vendor kecil dan sederhana (PKS) dalam industri minyak dan gas (O&G) yang majoritinya syarikat Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan vendor yang sekian lama tidak menerima bayaran akhirnya mendapat hak mereka serta mengekalkan kestabilan ekosistem industri O&G tempatan.
“Penstrukturan semula SEB telah melalui kelulusan pemiutang dan proses mahkamah. Suntikan kerajaan ini bukan geran, tetapi pelaburan strategik bagi memulihkan industri yang penting untuk ekonomi negara,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa proses audit serta due diligence tambahan akan dilaksanakan sebelum suntikan modal ini dimuktamadkan.
“Dapatan daripada due diligence ini akan dikongsikan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan agensi penguatkuasaan bagi menentukan sekiranya terdapat keperluan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemegang saham utama sebelum ini telah dikeluarkan daripada pengurusan SEB, dan kini syarikat itu dikendalikan oleh pasukan pengurusan profesional baharu yang dilantik khusus untuk menstrukturkan semula operasi syarikat.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI kekal komited terhadap ketelusan dan tadbir urus baik dalam sebarang keputusan yang melibatkan penggunaan dana awam.
“Kita tidak boleh membiarkan vendor-vendor kecil terjejas akibat kesilapan pengurusan lama. Ini adalah langkah menyelamatkan ribuan pekerjaan rakyat tempatan dan memastikan industri O&G terus berkembang,” tegasnya.-WILAYAHKU