SERAMAI 100 pelajar golongan B40 Parlimen Sungai Siput hari ini menerima sumbangan RM200, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata sumbangan itu melibatkan 35 daripada 50 sekolah di Parlimen Sungai Siput.
“Saya bersyukur pagi ini menyempurnakan satu lagi amanah dan tugas yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan bantuan sumbangan Madani kepada pelajar-pelajar Golongan B40 Parlimen Sungai Siput, Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program penyampaian sumbangan Madani di Parlimen Sungai Siput.
Dalam pada itu, Azman turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang berkolaborasi dengan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Sabri Abdul Ghani serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Siput Utara, Siti Sapura Abu Bakar yang bersedia menganjurkan majlis yang juga merupakan inisiatif Kesavan.
“Kita berpeluang untuk bertemu dan bersama-sama dengan penerima bantuan sumbangan Madani walaupun dalam tempoh yang agak singkat.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan semua golongan yang tidak berkemampuan serta berkeperluan dalam memenuhi hasrat pembangunan negara,” katanya.
Menurut Azman negara amat bertuah kerana mempunyai pucuk pimpinan yang berjiwa rakyat.
Dalam hal itu beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara yang dikenali sebagai Membangun Malaysia Madani, yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.
“Kerajaan sedar bahawa terdapat sebilangan masyarakat yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini.
“Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Azman berkata untuk meringankan beban keluarga, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada yang memerlukan.
“Antaranya, sumbangan yang disampaikan pada hari ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban mereka. Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – WILAYAHKU