SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya sebuah jawatankuasa dibentuk berhubung pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal GISBH.
Menerusi hantaran di Selangor Royal Office, baginda mahu jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab bagi penghasilan kertas kerja terperinci untuk mengenal pasti kaedah pemulihan terbaik membabitkan lebih 600 kanak-kanak terlibat.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa jawatankuasa itu perlu diwujudkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan masa depan golongan itu.
“Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Tuanku Sultan serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Baru-baru ini Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan itu.
Penubuhan itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Oktober lalu. – WILAYAHKU