Berita

Sultan Selangor titah bangunan bersejarah di Kuala Lumpur dipulihkan

GAMBAR Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirakam pada tahun 1900 yang diambil daripada koleksi DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
- Diterbit 31 Januari 2021 7:55 AM MYT

BERSEMPENA sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari setiap tahun, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap bangunan-bangunan bersejarah di Kuala Lumpur, khususnya yang ada kaitan dengan Negeri Selangor dapat dipulih dan dipelihara.

Menerusi instagram rasmi @selangorroyalofficial, Baginda menitahkan agar pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Warisan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mengambil tindakan seterusnya.

Ini kerana, kebanyakan bangunan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi dan menjadi destinasi pelancongan. 

Baginda memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada tahun 1897 dan pernah menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (State Secretariat) semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor sehinggalah tahun 1974, apabila ibu negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam.

Mengimbas kembali, Baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam dengan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Samad pada tahun 1968.

Menurut Baginda, antara bangunan bersejarah lain yang mempunyai kaitan rapat juga dengan sejarah awal negeri Selangor adalah Carcosa Seri Negara (King’s House, Istana Tetamu), Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTM, Istana Negara Lama serta Stadium Merdeka.

Senibina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur ini juga, jelas Baginda, mempunyai cerita unik tersendiri yang harus dihargai oleh generasi akan datang.

Baginda bimbang sekiranya bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya nanti ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi. 

Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merugikan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas