Berita

Sultan Selangor perkenan fatwa GISBH menyeleweng akidah Islam

- Diterbit 4 Oktober 2024 10:43 AM MYT

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi Selangor Royal Office, keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September lalu disembah maklum kepada baginda untuk diperkenankan.

Menurut kenyataan tersebut, sembah maklum itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa negeri yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung.

“Ia dibawa oleh kumpulan Darul Arqam yang telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993,” katanya.

Kenyataan tersebut menambah, fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

“Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya.

Butiran lanjut mengenai fatwa terkini itu akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas