Berita

Sultan Selangor perkenan ampunkan Sanusi

- Diterbit 27 September 2024 3:13 AM MYT

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.

Menerusi warkah dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang, baginda berbuat demikian di atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Biarpun begitu, baginda menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila selain jangan terlalu emosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat terutama sekali bila berada di dalam Selangor.

“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya.

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin,” titah baginda menerusi warkah tersebut.

Sultan Sharafuddin bertitah, kelakuan dan tutur kata yang baik amatlah penting untuk masa depan karier politik Menteri Besar Kedah itu.

“Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperoleh dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Akhir sekali beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab,” titah baginda.

Semalam Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor susulan kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas