Berita

Sultan Selangor amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi Awang

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 29 Februari 2024 2:38 PM MYT

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Feb lepas yang ditujukan kepada alim ulama, para hakim dan peguam, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sedemikian dalam surat yang diutus kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Antara inti pati surat berkenaan adalah Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Feb lepas.

Sultan Sharafuddin bertitah kenyataan sinis Ahli Parlimen Marang itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata, adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian.

Selain itu, kenyataan berkenaan juga tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar baginda,” menurut hantaran itu.

Sultan Selangor dalam surat kepada Abdul Hadi antara lain mempersoalkan mengapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan sejak Perlembagaan digubal pada tahun 1957.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Baginda turut menitahkan agar ahli dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

Pada 15 Feb lepas, Sultan Sharafuddin bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baginda bertitah demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas memutuskan bahawa 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jejayah Kelantan batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas