Berita

Sultan Brunei berkenan menerima mengadap Johari

- Diterbit 23 Januari 2025 5:45 PM MYT

SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Istana Brunei Darussalam sempena jelajah beliau ke negara-negara ASEAN yang telah bermula pada 15 Januari lalu di Thailand, Kemboja dan Singapura.

Johari menerusi hantaran di Instagramnya berkata beliau menghargai kesempatan untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala dalam pembangunan mampan dan perpaduan ASEAN menghadapi cabaran global.

“Komitmen dan pandangan Kebawah Duli Tuanku mengenai perpaduan serantau dan kestabilan ASEAN amat patik sanjungi.

“Patik yakin hubungan akrab antara kedua-dua negara akan terus memberi menafaat besar kepada rakyat Malaysia dan Brunei Darussalam,” katanya.

Sementara itu, Parlimen Malaysia dalam kenyataannya berkata, dalam kerangka lawatan rasmi ke Brunei juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Semasa majlis mengadap tersebut, perbincangan menyentuh usahasama antara Brunei dan Malaysia untuk memacu inovasi digital serta pembangunan belia ASEAN.

“Selain itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengundang rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Abdul Rahman Dato Setia Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Pertemuan empat mata antara dua pemimpin legislatif itu memberi tumpuan untuk memperkukuh diplomasi parlimen dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara merangkumi isu-isu berkepentingan seperti kestabilan serantau, pengukuhan hubungan antara rakyat dan usaha untuk mencapai matlamat bersama ASEAN,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas