Berita

SUKMA Johor mula 6 Mac 2021

REEZAL MERICAN ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankusa SUKMA Johor.
- Diterbit 25 April 2020 1:56 PM MYT

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para SUKMA pada 5 hingga 10 April 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan nama SUKMA 2020 dan Para SUKMA 2020 akan dikekalkan bagi tujuan penjenamaan biarpun temasya berkenaan berlangsung pada 2021.

“Saya berharap dengan keputusan ini, semua atlet pelapis akan terus melakukan latihan berdasarkan program yang dibekalkan oleh jurulatih masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” ujarnya.

Mesyuarat yang dijalankan secara dalam talian itu turut disertai oleh semua ahli jawatankuasa termasuk wakil dari semua negeri, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

Dari segi teknikal, beberapa pindahan telah dibuat kepada Peraturan Am, khas untuk edisi 2020, antaranya Perkara 3.1 yang membenarkan atlet-atlet yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal sebelum 9 Jan 2020 mengambil bahagian walaupun melebihi had umur seperti yang telah ditetapkan.

“Pertukaran atlet untuk senarai panjang (pendaftaran awal) boleh dilakukan sehingga 30 Jun ini, yang melibatkan kes kecederaan atau tidak mendapat pelepasan majikan atau institusi pendidikan, dengan permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal beserta bukti untuk kelulusan,” ujarnya.

Borang-borang penyertaan yang lengkap dengan nama atlet dan acara (senarai pendek) hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada Sekretariat SUKMA Johor tidak lewat daripada 31 Disember ini.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa tertinggi seterusnya akan diadakan pada Oktober ini untuk kita bincangkan semula tarikh SUKMA ini jika ada sebarang perubahan,” katanya.

SUKMA Johor yang pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini, diikuti oleh Para SUKMA bermula 11 hingga 22 Ogos terpaksa ditunda atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman penularan wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas