Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Silat WP tutup tirai dengan 14 pingat

- Diterbit 24 Ogos 2024 2:02 PM MYT

ACARA pencak silat bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 melabuhkan tirai semalam di mana Kontinjen Wilayah Persekutuan (WP) berjaya memungut 14 pingat secara keseluruhan.

Muhammad Syaqir Afham Zaidi menjadi satu-satunya penyumbang pingat emas buat kontinjen WP menerusi acara pencak silat lelaki bawah 45 kilogram (kg) apabila berjaya menumbangkan lawannya dari Negeri Sembilan dengan keputusan 19-15.

Pesilat yang berusia 21 tahun itu juga bakal menerima insentif sebanyak RM5,000 daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) di atas kejayaannya merangkul pingat emas.

Manakala pesilat Nurin Alyaa Damia Mohd Masran yang sebelum ini diberi kemenangan susulan insiden balingan botol ke dalam gelanggang ketika perlawanan, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas di tangan Farra Irdina Mohd Zairi yang mewakili Selangor dengan keputusan 55-73 di perlawanan separuh akhir.

Selain itu, prestasi cemerlang juga ditunjukkan oleh pesilat WP yang lain apabila berjaya meraih tujuh pingat perak dan enam gangsa sekali gus menjadikkan Wilayah Persekutuan di kedudukan kelapan secara keseluruhan bagi acara tersebut.

Bersempena SUKMA kali ini, para atlet yang berjaya meraih pingat akan diberikan habuan sebanyak RM5,000 untuk pemenang pingat emas manakala pingat perak dan gangsa pula masing-masing akan menerima insentif sebanyak RM3,000 dan RM1,000. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas