Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Langkah berbaloi buat Afiq Zufar

- Diterbit 22 Ogos 2024 4:45 PM MYT

HANYA mengambil masa satu tahun berlatih dalam acara compound, atlet pemanah Wilayah Persekutuan, Afiq Zufar Mohamad Shah,20, berpuas hati membawa pulang emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

“Alhamdulillah kemenangan tersebut membuktikan keputusan saya untuk ubah acara daripada recurve kepada compound tidak sia-sia.

“Kerja keras dengan menjalani latihan intensif dari pagi hingga petang akhirnya berbaloi. Masa set pertama saya di ranking keempat tetapi saya tetap cuba buat yang terbaik. Saya tidak sangka dan sangat terharu kerana ini merupakan SUKMA pertama (dan menjadi yang terakhir),” ujarnya kepada Wilayahku.

Dia yang menjadikan pemanah kebangsaan, Mohd Juwaidi Mazuki sebagai idola ini sentiasa berpegang kepada prinsip tidak melawan jurulatih pasukan jika ingin berjaya.

Terdahulu, Afiq Zufar dan pemanah Terengganu, Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki berkongsi 692 mata dalam acara 50m compound lelaki namun Afiq Zufar membawa pulang emas dengan kelebihan panahan tepat.

Muhammad Aiman pula terpaksa berpuas hati dengan perak manakala Abdul Faathir Aqil Rafizam dari Perak merangkul pingat gangsa selepas mengutip 691 mata.

Difahamkan sistem kiraan baharu diperkenalkan pada SUKMA Sarawak 2024 dengan kedua-dua mata yang diraih oleh pemenang pingat emas itu menjadi penanda aras bagi temasya berikutnya.

Sementara itu, bagi kategori compound wanita 50m, atlet Wilayah Persekutuan, Hadira Hashim berjaya menghadiahkan pingat perak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas