MESKIPUN hujan lebat melanda Bumi Kenyalang pagi tadi namun ia tidak mematahkan semangat Kok Hui Ying dalam menambah koleksi pingat emas buat kontinjennya.
Atlet Wilayah Persekutuan itu berjaya menamatkan larian lumba jalan kaki 10 kilometer (km) wanita dengan catatan masa 57 minit 41 saat.
Hui Ying, 19, berkata hujan lebat merupakan cabaran utama buatnya.
“Saya memang sasarkan pingat emas untuk kali ini namun keadaan hujan lebat membuatkan air mula bertakung di lorong satu dan menyukarkan pergerakan kami.
“Tetapi dengan berbekalkan persiapan yang telah saya lakukan selama dua tahun ini saya dapat atasinya dan memenangi acara tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku.
Tambahnya dia sudah bersedia untuk acara lumba jalan kaki 10km ini sejak temasya SUKMA yang lalu namun ia dibatalkan kerana tidak mempunyai penyertaan yang cukup.
“Kali ini pula acara diadakan untuk 10km dan 20km jadi saya memang fokus dengan latihan jalan jarak jauh dan juga kelajuan,” katanya.
Jelasnya lagi, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius memandangkan mempunyai satu lagi acara lumba jalan kaki bagi jarak 20km pada Jumaat ini.
“Untuk Jumaat ini kalau boleh saya taknak letakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri namun berjanji akan menampilkan aksi yang terbaik.
“Pengalaman pertama saya bagi acara 20km adalah di Terbuka Malaysia di mana saya tidak dapat menghabiskan perlumbaan kerana letak terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri dan juga kurang pengalaman, jadi saya berharap Jumaat nanti saya dapat berjalan dengan baik dan menamatkannya dengan prestasi yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying turut berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan.
“Perjalanan ini tidak mudah dan terima kasih kepada jurulatih saya yang banyak membantu mengatasi kecederaan dan juga emosi saya sepanjang tempoh persediaan dan semasa temasya berlangsung,” ujarnya.
Sementara itu, pingat perak turut dimenangi oleh atlet Wilayah Persekutuan, Kaarthiyani a/p Parameswar dengan catatan masa 58 minit 9 saat manakala gangsa diraih oleh pelumba dari Kedah, Nur Damea Balqisya (58 minit 38 saat). – WILAYAHKU