Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Bryan pecah rekod dua kali

- Diterbit 21 Ogos 2024 9:00 PM MYT

PERENANG Wilayah Persekutuan, Bryan Leong Xin Ren berjaya memecahkan rekod temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 sebanyak dua kali.

Bryan yang juga perenang kebangsaan mencipta rekod baharu SUKMA bagi acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan masa 24.81 saat (s) pada peringkat saringan yang mana sebelum ini dipegang Chan Jie dengan 25.13s selama 10 tahun.

Perenang 21 tahun itu, sekali lagi memecahkan rekod dengan catatan masa 24.46s sekali gus melayakkannya merangkul gelaran juara pada temasya kali ini.

Pingat perak pula dimenangi oleh Chris Chew Vi Min dari Pulau Pinang dan perenang Johor, Bernie Lee Elle Yang meraih gangsa dengan catatan masing-masing 24.94s dan 25.17s.

Bryan berkata bagaimanapun dia tidak dapat memperbaiki rekod kebangsaan miliknya, 24.08s yang dilakukkannya pada AP Race London International 2024 pada Mei lalu.

“Saya sasarkan untuk memperbaiki rekod kebangsaan tapi tetap gembira dapat sumbangkan pingat emas buat Wilayah Persekutuan dan pecah rekod temasya sebanyak dua kali.

“Saya akan cuba perbaiki rekod kebangsaan dalam acara 110m kuak kupu-kupu pada Khamis dan menangi pingat acara 4x100m gaya bebas,” ujarnya kepada pemberita.

Bryan, yang meraih lima pingat emas dan satu perak pada edisi lepas, hanya boleh mengambil bahagian dalam masing-masing dua acara individu dan berganti-ganti berdasarkan peraturan temasya mengehadkan penyertaan bagi mereka yang mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Bryan beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou.

Wilayah Persekutuan membolot empat daripada sembilan pingat emas dipertandingkan semalam, diikuti tiga perak dan satu gangsa, manakala Selangor dua emas, tiga perak dan dua gangsa. Tuan rumah pula dengan dua emas dan dua gangsa, berserta Pahang satu emas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas