ACARA boling padang berjaya menuai dua pingat emas buat Kontinjen Wilayah Persekutuan menerusi dua acara yang diadakan hari ini.
Pingat emas hadir menerusi acara berpasukan pairs lelaki yang berjaya menundukkan pasukan tuan rumah 11-10 dan berpasukan bertiga lelaki yang menentang pasukan Terengganu dengan kutipan mata 15-9.
Menurut Timbalan Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Sarawak 2024, Nik Shukri Nik Soh ia merupakan pencapaian yang membanggakan kerana rata-rata atlet baru pertama kali beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA)
“Pada awalnya kita hanya sasarkan dua pingat emas secara keseluruhan untuk boling padang namun hari ini kita telah berjaya mendapatkan emas.
“Ini membuktikan bahawa kita boleh untuk capai lebih banyak emas selepas ini,” katanya kepada Wilayahku selepas acara penyampaian pingat di Arena Boling Padang Sarawak, Petra Jaya.
Nik Shukri berkata pencapaian hari ini juga membuktikan bahawa Wilayah Persekutuan mempunyai barisan pelapis yang hebat.
“Kalau sebelum ini kita hanya menurunkan pemain dari Labuan namun kali ini kita ada wakil dari ketiga-tiga wilayah.
“Saya dapat lihat kali ini akan menjadi persembahan yang terbaik bagi acara boling padang di pentas SUKMA.
“Saya optimis dengan komitmen yang diberikan barisan jurulatih dan atlet, kita mampu dapat sekali ganda lagi pingat daripada yang disasarkan. Doakan,” ujarnya.
Acara boling padang akan mempertaruhkan lima pingat emas lagi sehingga 23 Ogos 2024. – WILAYAHKU