Berita

SUKMA 2024: Boling padang sumbang pingat emas

- Diterbit 17 Ogos 2024 2:47 PM MYT

MESKIPUN sesi latihan hanya dilakukan empat hari sebelum temasya berlangsung, ia tidak membataskan atlet berpasangan dalam acara boling padang,
Faris Syuhairil Ahmad Syukri, 19, dan Muhammad Afiq Azman, 17, meraih pingat emas.

Berkongsi kepada Wilayahku, Faris berkata mereka hanya dipertemukan empat hari sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 untuk menjalani sesi latihan bersama.

“Sebelum itu kami hanya menjalankan latihan masing-masing kerana saya di Labuan manakala Muhammad Afiq pula berada di Kuala Lumpur.

“Ini merupakan kali pertama kami tampil secara berpasangan dan jujur saya berfikiran mungkin agak sukar untuk kami serasi namun sangkaan itu sama sekali meleset kerana kami dapat menyesuaikan diri,” ujarnya.

Manakala Muhammad Afiq pula mengakui mereka terpaksa berhadapan jalan sukar untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.

“Di separuh akhir kami perlu bertemu dengan pemain negara, jadi di situ kami perlu kekal tenang dan tampil dengan yakin biarpun ia tidak mudah.

“Untuk peringkat akhir pula kami menentang pasukan tuan rumah yang hebat ditambah lagi mereka mempunyai penyokong yang ramai membuatkan kami sedikit gementar,” ujarnya yang mengambil masa selama dua tahun untuk melakukan persiapan sempena SUKMA Sarawak 2024.

Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata dia perlu memantapkan lagi permainannya bagi perlawanan seterusnya.

“Saya akan turun bertanding sekali lagi pada Selasa depan dalam acara perseorangan lelaki serta perlu tampil dengan lebih yakin kerana tiada lagi pasangan, ” jelasnya.

Terdahulu, kedua-duanya berjaya menghadiahkan pingat emas ketiga buat Kontinjen Wilayah Persekutuan menerusi acara berpasangan lelaki dalam sukan boling padang semalam.

Sehingga jam 2 petang hari ini, Kontinjen Wilayah Persekutuan menduduki tangga keempat secara keseluruhan dengan kutipan enam pingat emas, lapan perak dan 16 gangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas