Artikel

SUKMA 2024: Bola jaring WP pertahan juara tiga edisi berturut-turut

- Diterbit 23 Ogos 2024 4:36 PM MYT

PASUKAN bola jaring Wilayah Persekutuan (WP) mengekalkan status sebagai kuasa besar sukan itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 apabila berjaya mempertahankan kemenangan buat tiga edisi berturut-turut.

Wilayah Persekutuan berjaya menewaskan Kedah 60-37 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah pagi tadi.

Pada aksi akhir, anak buah Norizan Rejab dilihat tidak mempunyai masalah untuk terlebih mendahului pada suku pertama dengan 13 berbalas 11 dan turut berada di depan pada suku kedua dengan 29-22.

Di perlawanan suku ketiga, pasukan Wilayah Persekutuan semakin menunjukkan taringnya apabila meninggalkan Kedah dengan jurang mata yang besar iaitu 46-29 dan tambahan 14 lagi jaringan untuk menamatkan saingan akhir dengan selesa 60-37 sekali gus membuatkan Kedah terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Manakala bagi perlawanan merebut pingat gangsa pula dimenangi oleh pasukan Johor setelah menumpaskan Terengganu dengan mata 52-46.

Untuk rekod, ia merupakan emas kesembilan buat pasukan bola jaring WP sejak tahun 2000 (2000, 2004, 2006, 2010, 2011, 2013, 2018, 2022, 2024). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas