GENAP 30 tahun Allahyarham Datuk Sudirman Arshad semalam (22 Februari 2022). Namun, sehingga kini namanya Masih menjadi sebutan.
Penulis buku terkenal dan bekas wartawan, Saodah Ismail mendedahkan bahawa penyanyi hebat Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad adalah ikon perpaduan yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat.
Menurut Saodah yang juga teman baik Sudirman, Allahyarham sentiasa menitikberatkan unsur-unsur perpaduan berbilang kaum dalam kebanyakan persembahannya.
“Iya, Sudirman adalah ikon perpaduan yang patut dicontohi.
“Bagi saya banyak yang boleh dipelajari daripada Sudirman. Sudirman sendiri selalu berpegang kepada prinsipnya, ‘bukan nama yang jadi ukuran tetapi bakti yang disumbangkan’.
“Maknanya dia menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk para peminat dan industri seni.
“Mungkin ramai yang tahu, arwah seorang yang banyak mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Sesiapa yang rapat pasti tahu arwah banyak bersedih dalam kehidupannya.
“Tapi imej yang dipamerkan adalah lain dan berbeza sebab apabila dia naik ke pentas, dunia dia adalah untuk orang ramai. Dunia dia adalah antaranya dengan peminat,” ujarnya.

Menurut Saodah lagi, Sudirman sentiasa mahukan orang-orang di sekeliling serta para peminat sentiasa hidup gembira.
“Jadi dia sentiasa memberikan yang terbaik dan tak mahu orang lain bersedih. Dia memang seorang penghibur sejati.
“Misalnya, dia seorang yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Walaupun dia dalam kesedihan, apabila di pentas dia mampu semarakkan semangat patriotik dan menyatupadukan rakyat.
“Dalam mana-mana persembahan di pentas, pastinya dia akan bawa naik para peminat dari pelbagai bangsa, jauh sekali hendak membeza-bezakan.
“Bagi Sudirman, berlainan kaum, agama atau cara hidup, itu bukan halangan untuk masyarakat Malaysia hidup dengan harmoni.
“Itulah yang sentiasa diterapkan dalam lagu-lagu patriotiknya seperti Tangga 31, Bapak, Warisan dan banyak lagi,” katanya lagi.

Saodah juga berpendapat, Kelab Peminat Sudirman yang baru sahaja diwujudkan wajar diteruskan bagi mengenang jasa-jasa Sudirman kepada negara.
“Saya berpendapat Kelab Peminat Sudirman ni masih relevan dan perlu diteruskan sebab artis itu bukan sahaja perlu diminati atau dipuja ketika hayatnya.
“Begitulah juga arwah Sudirman. Ramai peminat dalam kelab ini, bukanlah hidup pada zaman kegemilangannya. Ramai mengenalnya selepas ketiadaan beliau tetapi mereka mengenali penyanyi hebat itu melalui lagu-lagunya.
“Itulah dikatakan peminat setia. Walaupun tak pernah jumpa atau kenal semasa arwah masih hidup, tetapi mereka tetap meminati Sudirman melalui lagu. Itulah peminat sejati,” luahnya lagi yang turut menghasilkan sebuah buku biografi berjudul Sudirman Yang Ku Kenali.
“Seperti tajuknya, ia adalah Sudirman yang ku kenali daripada kaca mata saya dan pengalaman saya (sebagai wartawan) bersama Sudirman dulu.
“Tidak ada yang saya tinggalkan, semuanya saya ceritakan dalam buku itu tentang insan yang bernama Sudirman,” tambahnya lagi.
Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku Sudirman Yang Ku Kenali, boleh hubungi Saodah menerusi laman sosial Facebook: Saodah Ismail. – WILAYAHKU