Rencana

Sucikan hati untuk kebahagiaan hakiki

PENYUCIAN jiwa berkait rapat bagi membentuk individu muslim yang berakhlak mulia. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Januari 2024 3:56 PM MYT

ARUS kemodenan dunia yang semakin menggila kini memerlukan setiap individu Muslim untuk mempertingkatkan diri mereka dengan bekalan kerohanian yang lebih utuh agar tidak mudah teruja dan tergoda dengan hamparan duniawi melampau. Oleh itu pendedahan ilmu penyucian jiwa sebagai asas kepada pembentukan rohani yang berkualiti dan selaras dengan kehendak Islam perlu diketengahkan kepada masyarakat umum masa kini agar kehidupan setiap individu terpandu sebagaimana dikehendaki oleh Islam.

Justeru ilmu penyucian jiwa merupakan satu-satunya jalan ataupun metode dalam Islam bagi membolehkan penganutnya mengenali hakikat sebenar tujuan kehidupan di alam maya ini. Lebih tepat lagi, istilah penyucian jiwa ini adalah berkait rapat dengan ilmu kerohanian yang begitu signifikan dalam Islam sebagai jalan paling utama bagi penganutnya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengenali Islam secara total.

Boleh dikatakan bahawa kebanyakan umat Islam memahami tentang najis mukhafafah, mutawassitah dan mughallazah yang bersifat fizikal, tetapi tidak ramai yang memahami kekotoran-kekotoran batin dan juga cara penyuciannya. Sedangkan penyucian sebegitulah yang amat penting sehingga Allah SWT telah menyebutnya di dalam Al-Quran, Surah al-Syams ayat 9 yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa.”

Penyucian jiwa di sini amat penting kerana dengan kesucian hatilah manusia akan dapat menikmati kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang hakiki itu pula adalah hasil daripada perhubungan manusia dengan Penciptanya. Justeru itu, Islam telah menggariskan beberapa metode penyucian jiwa agar masyarakat Muslim sentiasa menjaga dan mendidik serta mengendalikan nafsunya sehingga mampu membezakan kebaikan dan kejahatan.

Kejayaan mentadbir jiwa dan hawa nafsu inilah yang dikategorikan sebagai tunjang kerohanian dalam Islam. Ini kerana, melalui unsur dalaman ia akan menghubungkan seseorang hamba dengan Tuhannya. Oleh itu, Islam meletakkan kesucian spiritual sebagai akar umbi yang mesti dititikberatkan oleh setiap penganutnya dalam konteks taqarrub kepada Tuhan yang dijanakan melalui amalan penyucian jiwa.

Imam al- Ghazali (m. 505 H / 1111 M) di dalam karya agungnya iaitu Minhaj al-Abidin menukilkan bahawa tujuan pembersihan jiwa ini ialah untuk mendidik hawa nafsu yang wujud di dalam setiap diri umat manusia supaya tidak melupakan Allah SWT dan seterusnya membimbing nafsu tersebut agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan dosa.

Al-Tusi (m. 378 H / 988 M) pula menyatakan bahawa, tujuan pembersihan jiwa manusia hanyalah untuk mencapai satu matlamat sahaja iaitu mendekatkan serta membina kembali hubungan dengan
Allah SWT. Dalam hal ini, beliau menjelaskan lagi bahawa, seseorang hamba itu perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari jalan agar mereka mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurut beliau lagi, pencapaian sebenar dalam konteks penyucian jiwa individu hanya akan dapat digarap apabila seseorang itu berupaya merasai dan menyaksikan dengan mata hatinya akan kehadiran Allah SWT di dalam jiwa individu tersebut. Apabila hal ini terjadi, sudah pasti jiwa tersebut akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, penulis melihat al-Tusi meletakkan konsep mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai landasan utama mengapa seseorang itu perlu menyucikan jiwanya. Ini sekali gus akan mempertingkatkan lagi amalan individu tersebut agar jiwanya sentiasa mengingati Allah SWT.

Begitu juga halnya dengan apa yang diungkapkan oleh al-Ghazali, di mana beliau meletakkan aspek pendidikan hawa nafsu sebagai matlamat pembersihan jiwa manusia yang mana akhirnya akan
membawa kepada satu tujuan iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam konteks umat Islam, jalan untuk mengenali Tuhan hanya boleh dicapai selepas melalui proses penyucian jiwa, iaitu dengan penyingkiran sifat-sifat keji dan hina diganti dengan penghiasan sifat-sifat terpuji dan mulia serta memahami tujuan hakiki manusia diciptakan.

Tujuan manusia dicipta

Di samping itu, gesaan terhadap melaksanakan amalan penyucian jiwa ini amat berkait rapat bagi membentuk individu Muslim yang berakhlak mulia. Hal ini bertepatan dengan perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing umat manusia yang dilihat sebagai contoh terbaik dalam mempamerkan keunggulan akhlak sebenar yang perlu dipupuk dalam jiwa setiap umat Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.” Dalam Surah al-Qalam ayat 4, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.”

Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa betapa besar dan agungnya akhlak Rasulullah yang dikhabarkan oleh Allah SWT kepada kita sebagai umatnya. Atas dasar itulah Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing umat manusia bagi membentuk nilai akhlak yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani. Jelasnya, pelaksanaan konsep penyucian jiwa yang dianjurkan oleh Islam adalah bertujuan untuk mendekatkan diri seseorang hamba itu dengan Penciptanya, melalui pembuangan sifat-sifat tercela dan dihiasi pula dengan sifat-sifat terpuji serta memberi penekanan penuh terhadap pengawalan hawa nafsu yang menjadi tunggak utama bagi merealisasikan matlamatnya.

Penulis Dr Khairulnizam Mat Karim merupakan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas