KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan Studio TikTok Shop dalam usaha membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan mereka.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, studio yang disediakan oleh TEKUN Nasional dengan kerjasama TikTok Malaysia itu membolehkan para usahawan mengadakan penstriman langsung dengan teknologi terkini untuk meningkatkan jualan dan memperluaskan pasaran produk mereka.
“Selaras dengan pelancarannya di Penampang, Sabah pada 16 Februari lalu, sebanyak 12 Studio TikTok Shop Live Hub lagi akan disediakan di pejabat-pejabat TEKUN Nasional di seluruh negara.
“Studio Tik Tok Shop Live Hub kedua akan dirasmikan pada 17 Mac ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Rakyat, Parlimen Ke-15, di sini, hari ini.
Ewon berkata, KUSKOP turut melaksanakan Program Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil (EmpowerPPK) untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjaja dan peniaga kecil menjalankan transaksi perniagaan secara digital.
“Pada tahun 2024, seramai 618 penjaja dan peniaga kecil telah menerima manfaat daripada program ini. Bagi membantu usahawan PMKS memasarkan produk atau perkhidmatan mereka secara dalam talian, KUSKOP menyediakan ruang pemasaran secara dalam talian melalui Platform MyMall,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif lain yang dilaksanakan KUSKOP adalah menerusi pembiayaan melalui agensi-agensinya seperti SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corp. Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
“SME Technology Transformation Fund (STTF) oleh SME Bank menyediakan pembiayaan kepada PMKS untuk mengadaptasi digitalisasi dan automasi operasi perniagaan menggunakan aplikasi IR4.0.
“Sepanjang tahun 2024, seramai 212 usahawan telah menerima pembiayaan STTF berjumlah RM278.09 juta.
“Manakala melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) oleh TEKUN Nasional pula, menyediakan modal pembiayaan secara mudah dan cepat untuk usahawan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian bagi mendapatkan peranti dan peralatan berteknologi.
“Bermula tahun 2022 sehingga 2024, seramai 2,184 usahawan telah menerima pembiayaan SPOT berjumlah RM17.58 juta,” katanya.
Beliau berkata, SME Corp. Malaysia juga menyediakan bantuan geran padanan melalui Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) serta Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).
“Ini untuk membantu PMKS meningkatkan pengeluaran produk, penjimatan masa dan kos melalui adaptasi digitalisasi dan automasi serta teknologi,” katanya.
Tambah beliau, selain sokongan dari segi pembiayaan dan pemasaran, kementerian juga menyediakan bimbingan keusahawanan.
“INSKEN melaksanakan program bimbingan keusahawanan dengan menerapkan elemen digitalisasi seperti penggunaan platform penghantaran makanan, sistem Point of Sales (POS) dan pemasaran menggunakan platform-platform digital,” katanya. – WILAYAHKU