WILAYAH Persekutuan (WP) menjangkau usia lima dekad sejak pembentukannya pada tanggal 1 Februari 1974 dengan merangkumi tiga buah Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ketiga-tiga wilayah ini dikawal selia di bawah pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan. Selain itu, ia turut dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menjadi pintu gerbang utama kepada negara.
Dalam melebarkan informasi dan pencerahan mengenai hala tuju Wilayah Persekutuan, JWP mengadakan Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya pada Khamis.
Aspirasi yang disampaikan oleh beliau akan menjadi panduan kepada pelaksanaan-pelaksanaan strategi-strategi JWP, agensi serta pemegang taruh yang berkaitan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kerajaan kepada rakyat khususnya warga Wilayah Persekutuan.
NARATIF EKONOMI MADANI
DALAM merealisasikan aspirasi tersebut, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memberi tumpuan kepada menaikkan siling dengan mereformasi dan menstruktur semula ekonomi sekali gus menempatkan Malaysia menjadi peneraju ekonomi Asia.
Zaliha berkata JWP turut memberi fokus terhadap meningkatkan lantai dengan menambah baik kualiti hidup rakyat serta memperjuangkan keadilan sosial dengan mewujudkan pekerjaan yang meningkatkan taraf sosioekonomi serta kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.
“Secara asasnya tumpuan wilayah untuk melonjakkan ekonomi, reformasi dan struktur semula ekonomi serta menempatkan semula sebagai hab serantau sekali gus menyokong kepada kemampanan model ekonomi negara.
“Misi utama saya untuk menjadikan ketiga-tiga wilayah sebagai CHASE, CLEAN CITY (bandar bersih), HEALTHY CITY (bandar sihat), ADVANCED CITY (bandar maju), SAFE CITY (bandar selamat) dan ECO FRIENDLY CITY (bandar mesra alam),” ujar beliau ketika berucap di Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di Putrajaya pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan enam fokus utama dalam Kluster Sejahtera@WP iaitu fokus pertama, Penstrukturan semula ekonomi Wilayah Persekutuan; Mewujudkan bandar pintar berdaya huni (fokus kedua); Menyeimbangkan sosioekonomi warga Wilayah Persekutuan (fokus ketiga) serta Memelihara dan memulihara alam sekitar (fokus keempat).
“Fokus kelima pula adalah Membudayakan Digitalisasi serta Melestarikan Pelancongan di Wilayah Persekutuan bagi fokus keenam,” katanya.
Dalam usaha untuk memperkasa pembangunan secara lebih pesat dan holistik, Zaliha turut memperkenalkan Kluster PUJI@WP dengan memberi tumpuan terhadap usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan tegar dan memperkasa warganya melalui program-program seperti penjanaan pendapatan, pembangunan usahawan, perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas.
“PUJI atau Program Usaha Jaya Insan merupakan jenama atau signature program yang akan menjadi payung kepada pelaksanaan inisiatif peningkatan darjat hidup rakyat ini.
“Terdapat enam komponen utama iaitu Upaya@Puji di mana inisiatif ini akan memayungi program-program pendayaupayaan ketua isi rumah yang produktif dalam meningkatkan lantai pendapatan.
“Kedua adalah Ihsan@PUJI
di mana inisiatif ini akan mengumpulkan segala jenis bantuan yang diperuntukkan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun swasta untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kos sara hidup.
“Selain itu, komponen Lindung@PUJI pula memberi fokus kepada aspek perlindungan terhadap kumpulan berisiko tinggi melalui penyediaan skim caruman dan insuran sosial serta peluang bagi pemilikan rumah mampu milik Residensi Wilayah atau Residensi Madani,” ujarnya.
Tambah Zaliha, inisiatif keempat pula adalah Ilmu@PUJI yang menyediakan peluang kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan akses pendidikan tambahan yang percuma sekali gus meringankan beban kos sara hidup ibu bapa.
“Inisiatif Kelima adalah Sihat@PUJI iaitu peluang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui pelaksanaan inisiatif ini di samping Infra@PUJI yang juga memberi peluang untuk akses kepada kemudahan infrastruktur asas bagi menjamin kesejahteraan hidup khususnya bagi penduduk di Labuan.
“Secara amnya, PUJI ini merupakan satu usaha untuk kita rangkum dan selaraskan segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada warga Wilayah Persekutuan, khususnya kepada mereka yang berada dalam kategori pendapatan B40,” jelas beliau kemudahan ini adalah untuk menyelaraskan isu kemiskinan di Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Zaliha turut menetapkan sasaran bahawa isu miskin tegar dan miskin bandar dapat ditangani menerusi program seperti PUJI@WP pada penghujung tahun ini.
Beliau juga yakin dengan usaha-usaha, dasar serta penyelesaian yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan tepat dan berkesan sekiranya ia disokong oleh data yang berintegriti.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, saya mahu kesemua data, termasuk dasar yang ada di Wilayah Persekutuan ini, baik di Jabatan Wilayah Persekutuan mahupun agensi-agensinya, perlu dipusatkan di satu data centre.
“Saya berikan tempoh sehingga penghujung suku kedua tahun ini untuk pihak JWP menyelaraskan pemusatan kesemua data-data ini dan saya sendiri akan memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Selari dengan usaha membangunkan Malaysia Madani, JWP akan terus komited bagi menyediakan persekitaran kondusif dan berdaya huni untuk melahirkan warga Wilayah Persekutuan yang terus maju bagi menyokong pendekatan Whole of Nation. – WILAYAHKU