Staf YWP bantu vaksinasi warga kota
ZAIDI Yusof dan Fatihah Amir antara kakitangan YWP yang terlibat sebagai petugas di PPV Mobil, PA Seri Kota.

Staf YWP bantu vaksinasi warga kota

PENGLIBATAN secara langsung Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam pelaksanaan program imunisasi penduduk, menjadi antara faktor yang mendorong kelancaran pengoperasiannya.

Sebagai salah sebuah agensi menerajui inisiatif Vaksinasi COVID-19 @Wilayah Prihatin sejak Mei, YWP bukan sahaja telah menyumbang kewangan dan sumber tenaga sukarelawan PriVo, malahan turut menyediakan pelbagai keperluan berkaitan termasuk menempatkan kakitangannya di semua lokasi Pusat Pemberian Yaksin (PPV) mobile.

Pegawai Penyelaras PPV di Dataran Perumahan Awam (PA) Seri Kota, Zaidi Yusof berkata, semua petugas di PPV memainkan peranan penting bagi memastikan sepanjang tiga hari fasa vaksinasi diadakan, golongan sasar iaitu warga emas, OKU dan individu berisiko perlu divaksin.

Katanya, berdasarkan pelaksanaan program yang diadakan, sebanyak 1,800 dos vaksin disasarkan diberi kepada penduduk PPR atau PA di sesuatu kawasan PPV yang beroprasi.

“Bagi PPV di Seri Kota, secara puratanya seramai 600 dos vaksin diberikan kepada penduduk pada setiap hari. Jadi kuota vaksin dos kedua secara keseluruhan telah berjaya dipenuhi di sini mulai 22 hingga 24 Julai lalu.

“Dengan berkonsepkan perkhidmatan membawa terus vaksin kepada warga, maka tiada sebab penduduk tidak menerimanya. Inisiatif dijayakan ini demi melindungi keselanatan dan kesihatan diri rakyat dan mereka perlu berikan kerjasama,” katanya yang turut dibantu dua lagi kakitangan YWP di lokasi terbabit.

Zaidi berjawatan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran Korporat YWP terlibat di lapangan sejak Mei lalu mengakui, usaha yang digerakkan oleh yayasan adalah berpaksikan tanggungjawab sebagai agensi mementingkan kebajikan warga di Wilayah Persekutuan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan risiko katanya, amanah yang digalas dilaksana sebaik mungkin demi kesejahteraan semua warga selain berusaha bagi memastikan sasaran 80 peratus imunisasi berkelompok tercapai.

“Antara cabaran perlu ditangani semestinya ialah penularan jangkitan COVID-19 di dalam kawasan PPV diadakan. Jadi selain memastikan ke semua petugas mengamalkan SOP ketat dan kawalan kendiri, kami juga memastikan setiap penerima vaksin yang hadir bebas jangkitan.

“Selain kesukaran warga emas memahami skop dan keperluan untuk mendapatkan suntikan kami turut mengendalikan aspek kebajikan ke semua petugas di PPV termasuk keperluan makanan, keselamatan serba kesihatan semua bagi elakan tercetusnya kluster jangkitan di PPV,” katanya.

SEORANG kakitangan YWP, Noraini Abdullah bersama dua petugas kesihatan yang terlibat di PPV Rumah Prihatin @GrandSeason.

Sementara itu, bagi Eksekutif Junior YWP, Zity Nabilah Mohd Nadzri pula berpendapat, peranan digalas yayasan ketika ini amat mencabar namun ia tidak menjadi halangan bagi mereka berbakti kepada warga penduduk.

Menurutnya, kakitangan YWP telah terlibat sejak permulaan fasa vaksinasi diadakan, dan kini lebih berpuluh lokasi PPV mobile dibuka, maka di situ ada kakitangan YWP yang bertugas tanpa pula mengambil kira soal cuti atau elaun.

“PPV mobile di Dataran Seri Sarawak ini dilihat agak lengang dari segi kehadiran penerima dos kedua vaksin. Namun daripada aspek risiko pula, ia sama sekali tidak diabaikan.

“Selain amalan SOP ketat, kami juga perlu kenal pasti penerima vaksin yang bebas jangkitan. Ini adalah keutamaan bagi mengelak kejadian hari pertama program PPV di sini berulang apabila salah seorang penduduk telah dijangkiti hadir ke lokasi, sebelum rebah.

“Faktor risiko, Kawalan kenditi dan amalan SOP sentiasa kami jadikan keutamaan ketika depani penduduk. Bagi saya dan rakan, Shahrizzat Sirun (Pegawai Pembangunan Usahawan & Belia YWP) selain kelancaran program vaksinasi, kami juga perlu menyelaras makanan para petugas.

“Secara umumnya, aspek kebajikan semua para petugas sentiasa dijaga dengan baik oleh YWP. semua petugas di PPV diberi makanan percuma sebanyak tiga kali sehari. Bagi setiap sesi pula, sejumlah 2,00 bungkus makanan disedia untuk semua petugas terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, untuk minggu ketiga Julai, PPV Mobile beroperasi di 5 lokasi iaitu PA Seri Kota, PPR Kampung Baru Air Panas, Dewan PPR Wahyu dan Dataran Seri Sarawak selain PPV Statik di [email protected] yang dibuka setiap hari. – WILAYAHKU

CATEGORIES