Berita

ST Rosyam Mart muncul Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara

ST Rosyam Mart mencipta rekod apabila tersenarai dalam Asean Records
- Diterbit 20 Mac 2025 12:30 PM MYT

ST Rosyam Mart mencipta rekod apabila tersenarai dalam Asean Records kerana pencapaiannya sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak Datuk Raymond Ho Cheng Hann meluahkan rasa bangga apabila ST Rosyam Mart tersenarai dalam rekod berkenaan sewaktu ditemui di pembukaan kompleks beli-belah pertama ST Rosyam Mall yang terletak di Jalan Kebun, Klang.

ST Rosyam Mall yang pertama dibuka menampilkan lebih 30 premis terkenal dalam pelbagai kategori seperti fesyen, makanan dan teknologi.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan gelanggang Pickleball yang dibuka sepanjang masa, serta parkir yang luas dan surau yang selesa untuk keselesaan pelanggan.

ST Rosyam Mart mencipta rekod apabila tersenarai dalam Asean Records

Ujar Raymond Ho Cheng Hann, kerjasama strategik antara Sri Ternak dan ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart mencerminkan komitmen semua pihak dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.

“Melalui gabungan kepakaran dalam industri peruncitan, kami yakin bahawa ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart akan menjadi destinasi utama pengguna yang mengutamakan keselesaan, kepelbagaian produk, dan nilai terbaik untuk wang mereka.

“Kami juga berbangga kerana dapat menyumbang kepada inisiatif inovatif seperti Pandu Lalu Pengambilan Barang Pesanan dan kemudahan membeli secara borong, yang memberikan fleksibiliti kepada pelanggan dalam memenuhi keperluan harian mereka dengan lebih mudah danefisien,”katanya.

Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata, ST Rosyam Mall bukan sekadar pusat beli-belah biasa, ia adalah simbol kepercayaan dan dedikasi dalam menyediakan pengalaman membeli-belah yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Pembukaan ST Rosyam Mall adalah satu detik bersejarah buat saya secara peribadi. Impian saya adalah untuk membawa pengalaman membeli-belah yang bukan sekadar memudahkan pengguna tetapi memberikan nilai tambah yang luar biasa.

“ST Rosyam Mall bukan sekadar sebuah pusat beli-belah biasa, tetapi ia diwujudkan dengan konsep yang memenuhi keperluan seisi keluarga daripada makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan banyak lagi di bawah satu bumbung.

“Kami mahu menjadikan ST Rosyam Mall sebagai destinasi utama rakyat Malaysia yang mencari kelengkapan hidup dengan harga yang berpatutan tetapi dalam suasana yang selesa tanpa tekanan dengan pelbagai kemudahan disediakan,” katanya.

Rosyam turut melancarkan pembukaan cawangan kelapan ST Rosyam Mart dengan tawaran istimewa. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas