Berita

SST rangsang hasil kerajaan

- Diterbit 2 Julai 2025 9:00 AM MYT

LANGKAH kerajaan memperluaskan asas percukaian dengan melibatkan lebih banyak sektor di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah selari dengan amalan global.

LIAN SENG

Demikian ditegaskan Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Soh Lian Seng yang turut melihat usaha itu mencerminkan pendekatan pragmatik ke arah kemampanan fiskal.

Malah beliau berkata langkah semakan dan peluasan SST itu bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara, sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan menyokong kesejahteraan rakyat melalui cukai yang lebih progresif dan bersasar.

“Langkah ini disifatkan sebagai satu penggunaan cukai tidak langsung yang tepat pada masanya dan bersifat strategik dalam merangsang hasil kerajaan, tanpa perlu memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau menambah cukai langsung dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan secara bersasar serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan bermula 1 Julai.

Semakan dan peluasan skop SST itu tegas Amir Hamzah menunjukkan komitmen kerajaan terhadap cukai yang progresif dan saksama untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sambil melindungi golongan yang paling memerlukannya.

Beliau berkata ketika kerajaan berusaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, cukai progresif menjadi instrumen penting untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.

Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

Mengulas lanjut, Lian Seng memberitahu bahawa CTIM akan terus meneliti butiran perintah warta berkaitan secara menyeluruh dan mengemukakan maklum balas jika terdapat percanggahan dengan perundangan atau amalan semasa.

Katanya institut itu juga komited untuk membantu komuniti perniagaan memahami pelaksanaan inisiatif baharu ini serta menyumbang cadangan penambahbaikan yang bersesuaian demi kepentingan nasional.

“Ketelusan menerusi pewartaan dan pendekatan bersasar adalah langkah yang dialu-alukan. Kami turut menyokong kesinambungan sesi libat urus bersama pihak berkuasa serta bantuan praktikal bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan diri secara berkesan,” jelasnya.

Bagi melancarkan proses peralihan, CTIM turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan saluran sokongan khusus seperti talian hotline, e-mel atau perkhidmatan perbualan langsung yang dikendalikan oleh pegawai berpengetahuan, bagi memastikan maklum balas yang pantas dan tepat serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan.

“CTIM juga mengalu-alukan pengeluaran panduan peralihan dan peraturan yang relevan bagi menyokong pelaksanaan dasar ini. Walaupun usaha ini amat membantu, kami menjangkakan keperluan libat urus berterusan bersama pihak berkuasa bagi menangani isu-isu praktikal yang mungkin timbul kelak,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas