Berita

SST lindungi rakyat berpendapatan rendah

- Diterbit 2 Julai 2025 1:46 PM MYT

PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memberi kesan yang lebih minimum terhadap tahap penggunaan isi rumah berpendapatan rendah berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Demikian menurut Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kesan lebih terkawal itu ialah pengecualian barangan asas dan pendekatan cukai bersasar yang digunakan dalam sistem SST.

“Barangan keperluan harian seperti makanan asas, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan dikecualikan daripada SST, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah,” jelas beliau kepada Wilayahku.

BARANGAN keperluan harian seperti makanan asas, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan dikecualikan daripada SST

Syed Agil turut menjelaskan bahawa SST menyasarkan barangan dan perkhidmatan mewah yang secara umumnya kurang digunakan oleh golongan B40.

“Berbeza dengan GST yang dikenakan ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan, SST memberi ruang yang lebih besar untuk melindungi pengguna berpendapatan rendah daripada tekanan kos secara langsung.

“Namun begitu, beliau tidak menafikan wujudnya kesan tidak langsung daripada pelaksanaan cukai ini,” katanya.

Mengulas mengenai kesan jangka pendek, Dr Syed Agil berkata, peningkatan harga barangan tertentu mungkin menyumbang kepada inflasi, tetapi impaknya dijangka terhad kerana pengecualian terhadap barangan asas.

“Bagi jangka panjang pula, kesan SST terhadap inflasi dilihat lebih terkawal berbanding GST, selagi kerajaan terus mengekalkan pengecualian terhadap barangan keperluan dan memantau harga pasaran.

“Jika skop SST diperluaskan secara berterusan, kemungkinan berlaku kesan bertindih yang boleh menyebabkan kenaikan harga. Namun, peranan kerajaan melalui mekanisme seperti Akta Kawalan Harga amat penting untuk memastikan harga barangan kekal stabil,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa faktor luaran seperti kadar pertukaran asing dan permintaan global turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kadar inflasi negara – lebih besar daripada kesan SST itu sendiri.

“Walaupun SST bukan sistem cukai yang sempurna, ia secara relatifnya lebih mesra kepada isi rumah berpendapatan rendah jika dibandingkan dengan GST, asalkan kawalan harga dan pengecualian barangan asas terus dipertahankan,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas