Berita

SST kelebihan buat peniaga tempatan

GAMBAR HIASAN.
- Diterbit 1 Julai 2025 10:00 AM MYT

PEMBEKAL buahan-buahan tempatan seperti durian dan rambutan, Dwan Hamid mengakui pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedikit sebanyak memberi impak positif kepada usahawan buah.

Bagi Dwan yang juga pelakon, pelbagai pendapat tentang pelaksanaan SST, namun dia lebih fokus dari aspek positif.

DWAN

“Sejujurnya, memandangkan pelaksanaan SST terhadap buahan-buahan import ini sesuatu yang baharu, jadi saya tidaklah terlalu mendalaminya. Pada pandangan saya, apabila ia sudah dilaksanakan, sudah tentu ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggemar buahan-buahan import.

“Bagi saya, apa yang saya dapat ramalkan berkemungkinan lebih ramai yang akan membeli buahan-buahan tempatan kerana ia tiada cukai.

“Boleh dikatakan buahan-buahan ini adalah makanan harian yang banyak khasiatnya. Ini satu keperluan untuk badan kita dari kita kecil sampai sekarang. Buahan-buahan juga di makan oleh pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

“Jadi mahu atau tidak, orang ramai tetap membeli buah, cuma kali ini mungkin lebih ramai lebih tertumpu kepada buahan-buahan tempatan. Apa sebabnya, sudah tentu kerana tiada cukai di situ,” katanya.

Dwan juga berharap agar orang ramai melihat dari sudut positif apabila situasi ini memberi kelebihan kepada peniaga-peniaga buah tempatan.

“Apapun yang berlaku, kehidupan perlu diteruskan. Buah-buahan amat penting kepada kita dalam amalan pemakanan sihat. Jadi, ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada peniaga-peniaga buah tempatan untuk lebih menonjol kerana lebih murah.

“Bukan itu sahaja, produk makanan berasaskan buah juga dirasakan menerima tempias yang sama seperti durian crepe, colek, kek buah, minuman berasaskan buah, jeruk basah atau kering dan banyak lagi sebenarnya.

“Ini secara tak langsung mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

“Siapa yang untung? Orang kita juga. Memang pelaksanaan SST ini ada pelbagai pendapat. Kita raikan kepelbagaian pendapat itu, dalam masa yang sama, cari aspek yang positif,” tegasnya.

Sebagai pembekal buah durian juga, Dwan akui ‘raja buah’ ini sentiasa mendapat sambutan menggalakkan di mana sahaja. Malah ia tarikan kepada pelancong.

“Tidak dinafikan, durian mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat mahupun pelancong. Malah ramai peniaga juga menghasilkan produk-produk berasaskan durian.

“Saya berharap, durian terus menjadi tumpuan ramai apabila ia kekal tidak dikenakan cukai. Dalam masa yang sama, saya yakin, buahan-buahan tempatan lain akan terus menjadi pilihan warganegara dan pelancong selepas ini.

“Saya juga tidak menafikan kehebatan buahan-buahan import, saya pun antara penggemarnya. Terserahlah kepada selera dan kemampuan masing-masing.

“Di Malaysia ini, kita ada banyak pilihan buah. Mariah kita sokong buahan-buahan tempatan. Siapa lagi nak sokong produk orang kita kalau bukan masyarakat Malaysia sendiri,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas