Berita

SSP ajak rakyat sertai Perhimpunan Mega Demi Palestin Sabtu ini

- Diterbit 27 Februari 2024 6:55 PM MYT

SEKRETARIAT Solidariti Palestin (SSP) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Mega Demi Palestin yang dijadualkan berlangsung di Padang Merbok di sini, Sabtu ini.

Jurucakap SSP dan aktivis sosial, Tian Chua berkata pihaknya mengharapkan penyertaan semua pihak tanpa mengira agama, latar belakang dan fahaman politik untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Isu Palestin ini merupakan isu universal. Semua kelompok politik boleh bergabung. Ia juga cerminkan perpaduan rakyat Malaysia untuk menyatakan suara tegas dan bersatu padu dalam isu ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata peserta perhimpunan akan berkumpul pada jam 2 petang di Surau Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini dan akan berarak kira-kira 5.1 kilometer menuju ke lokasi berhimpun di Padang Merbok.

Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  untuk mengadakan himpunan itu.

Katanya, antara tuntutan yang akan dibawa dalam himpunan itu termasuk menuntut gencatan senjata serta merta dan menghentikan pembunuhan genosid oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas