Berita

SPRM tahan 18 individu terbabit rasuah kemasukan warga asing

SEBAHAGIAN daripada 18 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat merasuah penjawat awam.
- Diterbit 25 Februari 2025 5:46 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 18 warga tempatan termasuk pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki terlibat merasuah penjawat awam.

Ini sebagai balasan membantu meluluskan permohonan kemasukan warga asing sebagai pemegang saham di kilang-kilang sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Johor.

Perintah reman selama enam hari sehingga 2 Mac terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek, terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 30 hingga 60-an itu, telah ditahan antara pukul 7 hingga 10 malam semalam menerusi satu operasi bersepadu.

SEBAHAGIAN daripada 18 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat merasuah penjawat awam.

Ia dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membabitkan serbuan ke atas 12 premis sekitar Teluk Panglima Garang dan Segamat.

“Siasatan awal mendapati premis-premis tersebut disyaki memproses dan melupus bahan-bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.

“Salah seorang suspek dipercayai membayar wang rasuah kepada penjawat awam sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kilang-kilang milik beliau,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas