Berita

SPRM, NAZAHA jalin kerjasama perangi rasuah

KREDIT foto: Ihsan SPRM.
- Diterbit 17 Januari 2024 8:30 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa antirasuah Arab Saudi, Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA) bagi perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam usaha memerangi rasuah di peringkat global.

Kerjasama itu dicapai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bersama Presiden NAZAHA Arab Saudi, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

SPRM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aspek pertukaran maklumat dan penyertaan program pencegahan rasuah termasuk bantuan teknikal.

Azam dalam ucapannya pada majlis itu berharap MoU itu dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“SPRM bercadang mengadakan lawatan rasmi ke NAZAHA tahun ini bagi perbincangan lanjut serta perkongsian pengalaman,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Sementara itu, Mazin Ibrahim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada SPRM atas jalinan kerjasama melalui MoU itu dan memaklumkan kerajaan Arab Saudi komited dalam membanteras jenayah rasuah tanpa toleransi melalui beberapa inisiatif utama.

Antaranya Inisiatif Riyadh yang dikenali sebagai Globe I Network bertujuan mewujudkan rangkaian operasi global dalam kalangan agensi antirasuah bagi memudahkan pertukaran maklumat dan program pembangunan modal insan.

“Sehingga kini, sebanyak 191 agensi antirasuah daripada 150 negara telah menyertai rangkaian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazin Ibrahim berkata NAZAHA telah membangunkan inisiatif global untuk mengukur kadar rasuah, mengambil kira perbezaan politik dan undang-undang setiap negara.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan SPRM untuk mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan selari dengan Prinsip Vienna ke arah rangka kerja global untuk mengukur kadar rasuah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas