SEJUMLAH mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menggeledah sebuah pangsapuri bertempat di Kuala Lumpur, yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh semalam.
Tindakan itu adalah susulan penahanan dua individu baru-baru ini termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah jutaan ringgit.
Ia berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.
Menurut SPRM, kedua-dua suspek didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
Penggeledahan dilakukan pada sekitar pukul 10 malam semalam di sebuah pangsapuri bertempat di Kuala Lumpur di mana ia disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperoleh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU