Berita

SPANCO sumbang RM500,000 kepada Tabung Pahlawan 2020

- Diterbit 26 November 2020 7:00 AM MYT

SPANCO Sdn Bhd hari ini menyerahkan sumbangan RM500,000 kepada Kempen Tabung Pahlawan 2020 sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan para perajurit negara dan ahli keluarga mereka selama ini.

Sumbangan cek diserahkan oleh Pengarah Urusan SPANCO Sdn Bhd Tan Sri Robert Tan Hua Choon kepada kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kempen Tabung Pahlawan 2020 anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan.

SPANCO dalam kenyataan berkata, sejak memulakan operasi, pihaknya sentiasa menyedari kepentingan menyumbang kepada masyarakat dengan menjadikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai objektif teras syarikat.

Sehingga hari ini, beberapa sumbangan telah diberikan seperti pengedaran pelitup muka, sumbangan COVID-19, sumbangan khairat, mesin dialisis, membuat pelbagai lawatan ke rumah warga emas, anak yatim, penganjuran kempen keselamatan jalan raya, dan kempen derma darah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas