KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil langkah proaktif menambah baik Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) dan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan e-waste.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di samping memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam usaha melindungi alam sekitar.
“NRES memandang serius laporan siasatan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, sebagai tambahan, kementerian menegaskan bahawa usaha ini melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur dan garis panduan operasi yang meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan dan penyiasatan.
“Langkah-langkah tersebut diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambahnya NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke negara ini.
“Usaha ini dilaksanakan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
“Langkah-langkah kawalan ini termasuk pemeriksaan ketat di pintu masuk negara, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dan penggunaan teknologi pemantauan terkini bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar atau kesihatan awam,” ujarnya.
Jelasnya lagi kementerian kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pengurusan buangan yang mampan dan bertanggungjawab demi kelestarian alam sekitar negara. – WILAYAHKU