Berita

SOP acara hiburan : Bezakan antara konsert, parti

- Diterbit 14 Mac 2025 12:10 PM MYT

SESUATU cadangan melibatkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap penganjuran sesebuah acara hiburan perlu dibezakan antara konsert atau parti.

Perkara itu disuarakan pemilik Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment, Datuk Awie merujuk kepada pelbagai cadangan termasuk pengambilan sampel air kencing bagi mereka yang mahu menghadiri acara konsert.

Biarpun kerajaan menegaskan tidak merancang untuk melaksanakan cadangan berkenaan ketika ini, namun secara umumnya jelas Awie, semua pihak perlu mengetahui beza antara dua acara tersebut.

Melihat cadangan pelaksanaan ujian air kencing itu sebagai tidak relevan dan tidak praktikal, selaku individu yang berpengalaman menganjurkan beberapa siri konsert rock berstatus mega, beliau juga kurang bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana menurutnya ia sukar dilaksanakan.

Awie berkata pihak yang memberi cadangan harus tahu perbezaan di antara parti yang disertai deejay dengan konsert rock mahupun pop.

“Pihak yang menyuarakan cadangan agar saringan air kencing dibuat kepada pengunjung konsert perlu terlebih dulu tahu membezakan antara konsert dan parti.

“Insiden yang berlaku pada malam tahun baru tempoh hari di Bandar Sunway bukan sebuah konsert tetapi lebih kepada parti kerana melibatkan deejay.

“Lazimnya untuk konsert rock atau pop, jarang penonton berada di bawah kawalan bahan terlarang. Memang konsert dan parti kelihatan seperti satu kumpulan yang sama tetapi keseronokannya lain-lain,” kata Awie.

Menyentuh mengenai saringan ujian air kencing, Awie berpendapat perkara itu sukar dilaksanakan.

Sekiranya diteruskan, penganjur terpaksa memulakan saringan seawal pagi tetapi belum tentu dapat diselesaikan apabila konsert bermula.

“Mungkin pihak yang mencadangkan perlu memikirkan mekanisme yang lebih praktikal daripada menyukarkan penganjur.

“Sekiranya ada 10,000 penonton untuk sesebuah konsert, bermakna pengunjung terpaksa datang sebelum subuh untuk jalani ujian air kencing.

“Silap-silap konsert dah bermula pun belum tentu saringan air kencing selesai dijalankan,” katanya.

Vokalis kumpulan rock legenda Wings yang sudah lebih empat dekad dalam industri itu juga berkata dalam hal ini katanya setiap pihak ingin berada dalam situasi menang-menang.

Sementara itu menyentuh mengenai penganjuran konsert yang dikatakan tidak lagi relevan, Awie tidak bersetuju dengan pendapat itu.

Katanya penganjurkan konsert memberi rezeki kepada banyak pihak.

Tindakan menghalang penganjuran konsert boleh menyebabkan banyak pihak hilang punca pencarian kerana konsert tidak hanya membabitkan penyanyi semata-mata.

Sebaliknya produksi konsert membabitkan kumpulan bekerja belakang tabir yang besar antaranya prop, jurutera bunyi, pemuzik, pencahayaan dan ramai lagi.

“Penganjuran konsert bukan saja mendatangkan rezeki kepada penganjur tetapi pekerja-pekerja lain di belakang tabir.

“Janganlah halang penganjur konsert untuk buat konsert. Sekurang-kurangnya mereka berusaha buat sesuatu untuk mendapatkan rezeki.

“Konsert bukanlah sekadar untuk seronok-seronok tetapi disebaliknya terselit rezeki orang lain.

“Setidak-tidaknya pelajar lepasan universiti dalam bidang pengurusan acara juga boleh mendapat peluang pekerjaan dan mempraktikan ilmu dipelajarai di universiti menerusi acara seperti konsert,” katanya.

Sementara itu Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang yang berpengalaman menganjurkan konsert Datuk M Nasir CIPTA, Ada Apa Dengan Melly & Friends?, Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia dan banyak lagi berpendapat syor ujian air kencing perlu dikaji semula.

Katanya ujian air kencing tidak perlu dilaksanakan di semua jenis konsert dan pihak yang mencadangkan tidak boleh memukul rata.

“Tidak adil untuk melaksanakan ujian air kencing bagi semua jenis konsert. Jangan pukul rata.

“Mereka yang dipertanggungjawabkan untuk meluluskan permit konsert diharap dapat membuat penyelidikan terperinci terhadap setiap permohonan dikemukakan.

“Apa yang sepatutnya adalah selidik sejarah setiap konsert yang pernah dianjurkan sebelum ini dan kenal pasti genre muzik dibawa yang sering berlaku insiden buruk hingga membabitkan kematian penonton,” katanya.

Insiden meragut nyawa jelas Iman Tang tidak mungkin berlaku pada konsert jazz, pop atau rock.

“Memang sebelum ini ada sejarah berlaku tetapi pada konsert yang ada deejay. Seperti Konsert Future Music Festival Asia (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2014, yang menyaksikan berlaku kematian akibat pengambilan dadah jenis ekstasi.

“Tapi bagaimana hendak memastikan seseorang itu sebagai individu disyaki? Apa kriteria yang boleh buat kita rasa curiga?,” soalnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas