Berita

SMK Putrajaya Presint 9(1) johan pertandingan Kuiz Seri Paduka Baginda 2021

KUIZ Seri Paduka Baginda 2021 berlangsung secara maya dikendalikan oleh Putrajaya FM, pada Ahad. KUIZ Seri Paduka Baginda 2021 berlangsung secara maya dikendalikan oleh Putrajaya FM, pagi Ahad.
- Diterbit 21 Jun 2021 10:36 AM MYT

PASUKAN Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) muncul juara sulung selepas menewaskan sembilan buah sekolah dalam pertandingan Kuiz Seri Paduka Baginda 2021 anjuran bersama Persatuan Genealogi Malaysia dan stesen radio online – Putrajaya FM, semalam.

Kemenangan ini turut diraikan SMK Presint 5 (1) yang memenangi tempat kedua manakala SMK Presint 16 (1) di tempat ketiga.

SMK Putrajaya Presint 9(1) muncul juara sulung pertandingan Kuiz Seri Paduka Baginda 2021

SMK Presint 9(1) diwakili oleh pelajar Tingkatan 5 iaitu Nur Syahira Zaihirman, Muhammad Hafiz Che Hashim dan Mohamad Hifzhan AmirulAfiq serta Harith Huzair Effendy Irfan Effendy sebagai peserta simpanan.

Manakala, pasukan SMK Presint 5 (1) diwakili oleh gadis-gadis berumur 17 tahun iaitu Batrisyia Mana, Qaisara Izzati Syukriah Jamarwi dan Nur Yasmin Munawwarah Jefri serta Nur Balqis Mohd Yusdi di bangku simpanan.

Meskipun negara berada dalam suasana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menghalang sembilan buah sekolah untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang diadakan secara maya dikendalikan oleh Putrajaya FM.

Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Persatuan Genealogi Malaysia, Megat Iskandar Megat Zaharuddin, tiga orang wakil daripada setiap sekolah telah berentap pada pagi Ahad bagi menguji kepintaran dan pengetahuan am berasaskan institusi Yang di-Pertuan Agong di Malaysia. Tambahan, setiap soalan telah digubal oleh pakar rujuk dari Persatuan Genealogi Malaysia.

Mengulas mengenai pertandingan, Megat memberitahu, kesemua 27 orang peserta yang mewakili sembilan buah sekolah perlu menjawab sebanyak 15 soalan dalam pusingan pertama.

ANTARA soalan yang perlu dijawab oleh para peserta pertandingan

“Selepas tamat pusingan pertama, lima buah sekolah yang mempunyai markah tertinggi iaitu SMK Presint 16(1), SMK Presint 5(1), SMK Presint 11(1), SMK Agama Putrajaya dan SMK Presint 9(1) layak ke pusingan kedua.

“Di pusingan kedua pula, lima buah sekolah itu menjawab soalan melalui kaedah siapa cepat, dia dapat dengan menggunakan aplikasi buzzer online. Pusingan ini telah melayakkan dua buah sekolah iaitu SMK Presint 5(1) dan SMK Presint 9(1) ke pusingan akhir selepas memperoleh markah tertinggi,” jelas Megat mengenai pertandingan kuiz yang diadakan secara maya, pada Ahad.

Tambahnya, dalam pusingan akhir, kedua-dua buah sekolah itu telah mempamerkan prestasi yang cemerlang sehingga peratusan markah yang dimenangi oleh mereka begitu rapat sekali.

“Dengan perbezaan markah yang begitu tipis, SMK Presint 9(1) telah dinobatkan sebagai juara Kuiz Seri Paduka Baginda 2021 manakala SMK Presint 5(1) meraih tempat kedua,” katanya menerusi kenyataan media.

Bagaimanapun, Megat berkata, terdapat persamaan markah bagi tempat ketiga di antara SMK Presint 16(1) dan SMK Presint 11(1).

“Kebuntuan ini telah diputuskan melalui satu soalan pemutus seri iaitu wakil setiap sekolah perlu memberikan nama penandatangan Perjanjian Kemerdekaan 1957,” jelasnya.

Katanya, Pasukan dari SMK Presint 16(1) telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga selepas memenangi soalan pemutus seri dengan lima jawapan berbalas satu menewaskan pasukan SMK Presint 11(1).

“Kesemua peserta akan menerima sijil penyertaan dan pemenang akan menerima hadiah daripada pihak penganjur yang akan dihantar ke sekolah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Megat berkata, penganjuran kuiz berbentuk ilmiah seperti ini dengan topik kenegaraan iaitu penghayatan institusi Yang Dipertuan Agong sememangnya harus diterapkan di peringkat remaja agar jati diri mereka dibentuk menjadi seorang warga negara Malaysia cemerlang.

Manakala, Penerbit Eksekutif Putrajaya FM, Mohd Khaidir Redza Daud berkata, program ini akan dijadikan acara tahunan bagi Putrajaya FM yang diadakan pada setiap bulan Jun di masa akan datang.

Sementara itu, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Puan Farizah Ahmad yang telah memberi sokongan untuk mengadakan kuiz ini.

“Kuiz ini telah memberi satu usaha sama strategik antara pihak Jabatan, pihak media dan pakar bidang untuk membawa aktiviti yang berfaedah dan berkualiti kepada pelajar walaupun berada dalam kekangan PKP,” jelas Megat.

Terdahulu, pertandingan Kuiz Seri Paduka Baginda 2021 telah diadakan pada Ahad secara Maya oleh Putrajaya FM bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada awal bulan Jun yang lalu.

Siaran langsung Kuiz ini telah disiarkan melalui laman Putrajaya FM dan akaun media sosial Persatuan Geneologi Malaysia untuk membolehkan para pelajar, guru-guru, ibu bapa dan para penyokong mengikutinya. Walau bagaimanapun, siaran tertunda akan dimuat naik oleh pihak penganjur. -WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas