PUSAT Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini diserikan dengan kehadiran ikon usahawan terkenal menerusi Slot Bual Bicara Ikon Usahawan yang diadakan sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia.
Acara anjuran USANITA dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu menampilkan panel-panel hebat antaranya Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd Datin Adzliana Hasan, Pengurus dan Pengasas D-Strike Solution Mohd Sukur Ibrahim (Shukor Burger), Pengarah Sumber Manusia Carsome Mohd Afifi Zahari serta barisan usahawan selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Rozita Che Wan, dan Awal Ashaari sebagai hos.
Acara bermula 11 pagi hingga 1 tengahari itu mengupas topik berkaitan dunia keusahawanan dan perniagaan yang dillihat mampu memberi sinar harapan kepada golongan B40 dan M40 yang berdepan kesukaran ketika pandemik COVID-19.
Sebelum ini, USANITA pernah menganjurkan program Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadi saluran tambahan untuk pemulihan perniagaan usahawan wanita di luar bandar yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di KLCC selama empat hari bermula 9 Dis dari 9 pagi hingga 10 malam.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.