Berita

Skuad hoki 5s lelaki, wanita sasar ke suku akhir Piala Dunia 2024

- Diterbit 13 Januari 2024 6:35 PM MYT

SKUAD hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita negara menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir di kejohanan sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman pada 24 hingga 31 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Tinggi dan Hoki 5s Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Hasnizam Hassan berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini.

“Berdasarkan hasil latihan dan kita rasa persembahan pasukan agak bagus. Jadi sama-samalah kita berdoa agar pemain yang hadir dapat menyertai pertandingan dengan cemerlang,” katanya selepas mengumumkan senarai pemain Hoki 5s ke kejohanan itu hari ini.

Skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Amerika Syarikat dan Fiji manakala pasukan wanita berada dalam Kumpulan A bersama Oman, Fiji dan Belanda.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan lelaki Erling Wallace Tan berkata memandangkan ini kejohanan sulung, pasukannya perlu berhati-hati ketika beraksi dan berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan lawan.

“Ini adalah kejohanan Piala Dunia pertama bagi Hoki 5s, jadi kita tidak mempunyai maklumat pasukan lawan dengan banyak. Untuk pasukan Asia kita tiada masalah kerana sebelum ini melihat mereka beraksi di Piala Asia di Salalah Oman (Ogos 2023),” katanya.

Negara dalam kelompok tiga terbaik Kelayakan Piala Dunia layak ke kejohanan itu, namun skuad lelaki negara yang menduduki tempat keempat telah layak susulan menggantikan Oman sebagai penganjur.

Pasukan wanita pula meraih tempat ketiga selepas tewas kepada India 5-9 di separuh akhir. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas