TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan telah melancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi hari ini.
Upacara flag off kenderaan yang melibatkan pelepasan 14 buah kenderaan jenis 4×4 dan sebuah lori yang akan mewakili 14 Parlimen di seluruh negeri Kelantan.
Beliau berkata sebagai langkah kesiapsiagaan tinggi menghadapi bencana banjir, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan sejumlah dana mencecah RM500,000 khusus untuk usaha bantuan bencana.
“Inisiatif ini tidak hanya sekadar simbolik, tetapi menjadi manifestasi komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
“Bantuan yang disalurkan merangkumi peralatan pembersihan kediaman dan bakul makanan, bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan harian pasca banjir,” katanya semasa melancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi di SKM.
Menurutnya, dijangka lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) akan dibantu dalam misi bantuan ini.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM terus komited dan berdiri teguh bersama mangsa yang terkesan dalam bencana alam seperti banjir ini.
“Di dalam membangunkan usahawan dan koperasi, bantuan kemanusiaan tetap menjadi keutamaan KUSKOP dan SKM,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) dan Ketua Pegawai Ekskekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar. – WILAYAHKU