Berita

Skim pembiayaan inovatif mudahkan golongan muda membeli rumah PR1MA

ISMAIL Sabri berucap ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Residensi Larkin Indah di sini hari ini.
- Diterbit 4 Mac 2022 2:41 PM MYT

INISIATIF Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memperkenalkan skim pembiayaan inovatif wajar menjadi penanda aras untuk kerajaan dan pihak industri menyediakan akses kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah PR1MA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.

“Saya yakin dan percaya bahawa inisiatif seperti ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri.

“Ia termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MoF),” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Residensi Larkin Indah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Katanya, skim yang dilaksanakan itu adalah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah, ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ini adalah antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini. Alhamdulillah kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan tersebut.

“Usaha ini adalah selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti PR1MA dengan lebih mudah dan luas,” katanya. –WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas