Putrajaya

SK Putrajaya 11(1) raih pengiktirafan dunia

SK Putrajaya Presint 11(1) tersenarai sebagai salah satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.
- Diterbit 29 Jun 2025 3:35 PM MYT

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, sekali gus membuktikan keupayaan sekolah di Malaysia untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan berprestij yang diumumkan oleh penganjur T4 Education itu diperoleh hasil inisiatif cemerlang sekolah tersebut dalam memperkasa kesihatan mental dan kesejahteraan hidup pelajar menerusi aplikasi mudah alih HELPIE, yang dibangunkan oleh pelajar untuk pelajar.

Aplikasi HELPIE menjadikan sokongan kesihatan mental lebih mudah diakses, interaktif dan menyeronokkan, melalui pendekatan gamifikasi, penilaian kendiri dan fungsi ‘chat’ yang menghubungkan pelajar terus kepada ahli terapi dalam talian.

Kad bercetak turut disediakan sebagai pelengkap kepada aktiviti berpandu, yang menggalakkan perbincangan terbuka mengenai emosi, sama ada secara individu atau berkumpulan.

“Gamifikasi menjadikan kesedaran emosi menyeronokkan dan menarik. Alatan ini membolehkan pelajar menilai tahap tekanan semasa mereka dengan mudah serta mengenal pasti pencetus emosi dan titik tekanan,” kata T4 Education dalam kenyataan.

Bagi memastikan akses yang adil kepada semua, aplikasi ini turut dipasang pada tablet yang disediakan oleh sekolah, membolehkan penggunaannya sepanjang hari dalam sesi persekolahan khususnya untuk pelajar yang mempunyai keterbatasan sumber digital di rumah.

Sejak pelaksanaannya, pihak sekolah melaporkan penurunan 60 peratus tahap tekanan dalam kalangan pelajar, lebih 90 peratus pelajar kini mempunyai pemahaman lebih baik terhadap emosi mereka dan 87 peratus pelajar lebih sedar tentang tahap tekanan yang dialami.

Menurut T4 Education pendekatan menyeluruh ini telah mewujudkan ruang pembelajaran yang seimbang, menggembirakan dan selamat serta memberikan kanak-kanak peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang memahami keperluan emosi mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di platform X turut menzahirkan ucapan tahniah kepada warga sekolah atas pencapaian membanggakan ini.

“Tahniah buat warga pendidik dan anak-anak SK Putrajaya Presint 11(1) atas pengiktirafan ini. Usaha dan dedikasi kalian menjadi inspirasi kepada semua,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menyampaikan ucapan tahniah selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) baru-baru ini menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa sistem pendidikan Malaysia berada di landasan yang tepat.

“Saya berharap mereka akan disenarai pendek lagi untuk kemenangan di pusingan yang seterusnya. Ini menunjukkan sekolah dan anak-anak kita memiliki potensi besar. Maknanya, acuan itu adalah acuan kita, budaya kita dan paling penting, sekolah kita,” katanya.

Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negara, malah memperkukuh keyakinan bahawa sekolah-sekolah di Malaysia mampu memimpin perubahan global dalam bidang pendidikan, khususnya menyokong pembangunan pelajar yang sihat dari segi mental, emosi dan sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas