Berita

SJKP luluskan 25,645 pinjaman perumahan

- Diterbit 7 Disember 2023 10:00 AM MYT

SKIM Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), menerusi Inisiatif i-Biaya telah meluluskan kira-kira 26,645 daripada 30,841 pinjaman
bagi meningkatkan pemilikan rumah khususnya membabitkan golongan belia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Nasir berkata, menerusi inisiatif tersebut, kerajaan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan dengan menyediakan dana tambahan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion.

“Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan juga telah bersetuju untuk meningkatkan jaminan pembiayaan dengan nilai tambahan jaminan sebanyak 10 bilion ringgit, di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September 2023, sebanyak 26,645 daripada 30,841 permohonan pinjaman iaitu sebanyak 86.43 peratus telah diluluskan bagi golongan belia.”

Beliau berkata demikian, ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Senator Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah di Dewan Negara hari ini.

Tambah Akmal, SJKP telah memberi peluang kepada pembeli rumah pertama golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap terutama golongan ekonomi gig.

Jelas Akmal, pembiayaan juga tidak terhad untuk kediaman baharu tetapi juga melibatkan rumah sedia ada atau rumah lelongan.

Sehingga 31 Oktober lalu, menerusi 162 Program Perumahan Rakyat (PPR), kira-kira sebanyak 100,696 unit rumah telah siap dibina.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas