TERUS menjadi inspirasi rakyat, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza,43, kini dilantik sebagai duta pendidikan jenama Binary University (BU) selama setahun.
Seiring dengan pelantikan ini, penyanyi lagu Lip Lap Raya itu berhasrat untuk mengikuti kursus jika diberi kesempatan.
“Jika ikut, usia saya agak terlewat mahu sambung belajar. Dengan komitmen dan kesibukan meneruskan rutin sebagai ibu dua cahaya mata menuntut agihan masa.
“Namun, sesekali tetap terdetik menyimpan impian mengikuti kursus jangka pendek di BU. Semuanya kena bersandar kepada kemampuan diri dan tiada komitmen tinggi.
“Menuntut ilmu digalakkan sehingga ke liang lahad. Jika ada kesempatan, mungkin saya boleh mempertimbangkan mengikuti pengajian keusahawanan untuk mengukuhkan ilmu sebagai ahli perniagaan,” katanya.

Siti berkata, tanggungjawab dipikul menuntut dirinya menguar-uarkan dan memberi maklumat mengenai universiti berkenaan.
“Saya melihat pandemik COVID-19 melanda negara, sekali gus membuka hikmah besar. Hingga kini, ramai yang mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan.
“Malah, ada yang boleh bercakap depan orang ramai untuk menjual barang dalam media sosial tanpa ilmu perniagaan.
“Tetapi, tidak salah menambah ilmu perniagaan dengan belajar secara formal. Saya sendiri dibantu oleh mereka yang profesional dan mahir dalam mengukuhkan empayar perniagaan.
“Siapa tahu, mungkin graduan bidang keusahawan di BU boleh diserap menjalani latihan amali, perindustrian mahupun bekerja di syarikat SimplySiti. BU menawarkan tiga diploma membabitkan bidang keusahawanan,” katanya yang kini terbang ke Tanah Suci Makkah menunaikan umrah bersama kakak ipar, Datin Zaiton Mohd Jiwa dan pengurusnya, Rozi Abdul Razak, semalam. – WILAYAHKU