PENYANYI nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Beliau menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Menerusi sebuah kenyataan kepada media, Siti menjelaskan anugerah yang dikurniakan kepadanya itu merupakan satu tanggungjawab dan pengiktirafan buat semua anak seni.
“Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
“Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman,” katanya.
Menurut Siti lagi, seni memainkan peranan edalam menyatupadukan rakyat yang di negara kita yang berbilang kaum.
“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” ujarnya.
Penganugerahan ini dalam masa yang sama mengingatkan Siti akan pesanan arwah bapanya Tarudin Ismail yang mengumpamakan dirinya sebagai bunga Melur.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana…
“Walau kering tak bercahaya bunga melur…
“Baumu memikat jiwa…”
“Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun.
“Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang-orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.
“Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongankepada karier saya selama ini.
“Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang telah mendukung kerjaya saya selama ini.
Tanpa penglibatan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi.
“Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU