PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mewakili Yayasan Nurjiwa, dalam satu pertemuan di pejabat beliau hari ini.
Dalam hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar berkongsi pelbagai inti pati perbincangan termasuk peranan signifikan yang mampu dimainkan oleh figura seni tersohor itu dalam membentuk nilai murni serta menjadi contoh teladan buat artis dan penghibur muda masa kini.
“Saya percaya Dato’ Sri Siti bukan sekadar seorang penyanyi unggul, bahkan beliau memiliki pengaruh besar dalam mencorakkan hala tuju seni negara, terutama dalam mendidik dan membimbing generasi baharu agar terus menjunjung etika dan disiplin dalam industri hiburan,” katanya.
Turut disentuh dalam pertemuan tersebut ialah kepentingan mempelbagaikan bentuk persembahan seni supaya kekal relevan dengan cita rasa dan keperluan masyarakat moden.
“Seni dan budaya adalah cerminan tamadun. Ia perlu sentiasa segar dan berkembang seiring perubahan zaman tanpa mengorbankan nilai dan jati diri,” tambah Perdana Menteri.
Yayasan Nurjiwa, yang diterajui oleh pasangan itu, turut dipuji atas pelbagai usaha kebajikan dan inisiatif pembangunan sosial yang digerakkan mereka selama ini.
Kunjungan tersebut mencerminkan semangat kolaboratif antara tokoh seni tanah air dan pimpinan negara dalam memperkukuh ekosistem seni dan budaya Malaysia.-WILAYAHKU